Koperasi WI Daerah Lipis Berhad (KOWILIP) diseru supaya terus memperkukuh asas koperasi serta berani meneroka peluang perniagaan baharu dan pasaran yang lebih luas bagi meningkatkan manfaat kepada anggota.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan wanita dalam gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pendapatan, membina keusahawanan dan mengukuhkan ekonomi keluarga. Justeru, KOWILIP perlu memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan mempunyai nilai, pulangan dan impak kepada anggota.
“KOWILIP perlu memasuki satu fasa yang lebih matang. Kita bukan hanya melihat sama ada sesuatu aktiviti itu berjalan atau tidak, tetapi sejauh mana aktiviti tersebut berkembang, memberikan pulangan dan memberi manfaat kepada anggota.”
Dalam perkembangan berkaitan jaringan koperasi global, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berkongsi bahawa beliau telah dipilih sebagai Ahli Lembaga Global International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030 sempena Perhimpunan Agung ICA 2026 di Panama Convention Centre, Panama City, Panama pada 15 September 2026.
Menurut beliau, pelantikan tersebut membuka ruang yang lebih luas untuk memperkukuh jaringan serta membawa aspirasi gerakan koperasi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Beliau turut menggalakkan KOWILIP memanfaatkan jaringan antarabangsa ANGKASA melalui program pertukaran, latihan, lawatan penanda aras, persidangan serta jaringan perniagaan dengan koperasi luar negara.
Peluang tersebut perlu dimanfaatkan untuk mempelajari model perniagaan baharu, membina hubungan strategik dan membuka laluan pasaran kepada produk koperasi Malaysia.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan bahawa produk dan kepakaran koperasi wanita mempunyai potensi untuk diketengahkan ke pasaran lebih luas sekiranya disokong dengan strategi pembungkusan, pemasaran dan saluran pasaran yang bersesuaian. Pada masa sama, identiti, budaya dan hasil tempatan Kuala Lipis juga mempunyai nilai untuk diketengahkan kepada pasaran luar.
Pengerusi KOWILIP, Puan Wan Norizan Wan Badruzzaman berkata, KOWILIP komited memperkukuh penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi koperasi agar terus memberi manfaat kepada anggota serta komuniti setempat.
Antara usaha keusahawanan KOWILIP yang menyerlah ialah pengurusan Pusat Superbowl Bowling Lipis secara usahasama sejak Februari 2024, yang turut dilengkapi taman permainan dan pusat rekreasi keluarga.
Menurut Pengerusi KOWILIP, Wan Norizan Wan Badruzzaman, inisiatif tersebut bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada anggota, malah menjadi ruang riadah komuniti serta platform pembangunan bakat muda dalam sukan bowling menerusi aktiviti seperti Weekly Challenge, Members Day dan bengkel latihan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Raub/Lipis, Encik Mohd Shukemei Ahmad turut mengingatkan KOWILIP supaya memberi perhatian terhadap pengurusan Pusat Superbowl Bowling Lipis, khususnya dengan mempergiatkan strategi pemasaran dan promosi bagi meningkatkan kunjungan serta prestasi perniagaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan pihak Lembaga KOWILIP mengawal perbelanjaan dan memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara berhemah agar koperasi terus kukuh serta kekal dalam kelompok koperasi yang berjaya di daerah Raub dan Lipis.
Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KOWILIP dan Al Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd yang disaksikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Al Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd, Dato’ Dr. Haji Md Rahidin Haji Sahal. Kerjasama dalam menawarkan pakej umrah dan pelancongan bersama Al Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd itu turut menyediakan insentif khas kepada anggota koperasi KOWILIP.
Mesyuarat Agung Tahunan KOWILIP Kali Ke-9 yang dirasmikan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah di Hotel Lipis Centrepoint, Kuala Lipis pada 23 September 2026 turut menjadi platform memperkukuh hala tuju koperasi agar lebih berdaya tahan, berdaya saing dan progresif, selaras dengan aspirasi untuk membawa KOWILIP melangkah lebih jauh melalui jaringan ANGKASA sehingga ke peringkat antarabangsa.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi KOWILIP, Datin Anida Zakaria, Setiausaha KOWILIP, Puan Zainun Ahmad, Ketua Pegawai Kewangan Al Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Hajah Azalina Haji Abdullah, Pengarah Urusan Al Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd, Haji Mohammad Nazreen Alias serta Ketua Pegawai Operasi Mikayla Travel and Tours Sdn Bhd, Dr. Hajah Nur Diyana Atiqah Dato Dr. Haji Md Rahidin.


































