HomeAKTIVITI26 Koperasi Sekolah Serlah Kreativiti, Inovasi Produk dalam AKKS 2026

26 Koperasi Sekolah Serlah Kreativiti, Inovasi Produk dalam AKKS 2026

Sebanyak 26 koperasi sekolah mengambil bahagian dalam Pertandingan Persembahan Pempamer Koperasi Sekolah Terbaik 2026 yang menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi menerusi produk yang ditawarkan.

Pertandingan berkenaan merupakan sebahagian daripada program Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 1 November 2026.

Antara produk yang diketengahkan termasuk perasa cendawan yang dihasilkan menggunakan cendawan yang ditanam sendiri oleh Koperasi SMK Sultan Ahmad Kuala Terengganu Berhad, span basuh pinggan mangkuk yang diperbuat daripada petola oleh Koperasi SMK Sultan Badlishah Kulim Kedah Berhad serta sabun yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai oleh Koperasi SMK Gombak Setia Berhad. Turut dipamerkan ialah penghilang kotoran mudah alih oleh Koperasi SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Terengganu Berhad dan baja organik keluaran Koperasi PPKI SMK Long Ghafar 2 Berhad.

Barisan juri pertandingan terdiri daripada Naib-naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abdul Jalil.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Mohd Nasrul Khairi, yang mewakili Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau turut mengadakan lawatan ke beberapa reruai koperasi sekolah yang mengambil bahagian.

Lawatan tersebut diiringi Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Dr. Akram Hassan, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Haji Azhan Anuar, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan serta Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Kelantan merangkap Pengerusi Bersama Program AKKS 2026 Peringkat Kebangsaan, Haji Wan Mohamad Zain Abdullah.

Selain itu, program berkenaan turut menyaksikan Pertandingan Persembahan Kreatif Budaya Warisan Koperasi Sekolah 2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan “Satu Tabung, Seribu Manfaat” yang disertai 24 koperasi sekolah.

Pertandingan tersebut diadili oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Profesionalisme, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Haji Hafiz Ridhuan Md Daud, Ketua Penolong Pengarah (Keusahawanan), Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat, Muhammad Hafiz Ahmad Nasir serta Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Kecemerlangan TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, KPM, Noorzalina Zainal Abidin.

Pengisian program turut merangkumi sesi Motivasi Terapi Minda bertajuk “Koperator Muda Pewaris Masa Depan” yang disampaikan oleh Pengerusi Koperasi Siswa USM Kelantan Maju Berhad, Mohd Nor Zulhairie Othman.

Dalam pada itu, wakil koperasi sekolah yang hadir turut mengambil peluang mengemas kini maklumat koperasi masing-masing menerusi sistem MyCoop Update dalam Taklimat Coop Bridge yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Seksyen Keanggotaan dan Tadbir Urus, Bahagian Pengurusan Sekretariat dan Tadbir Urus ANGKASA, Hazim Haji Abdul Halim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine