ANGKASA menerima kunjungan wakil Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi membincangkan potensi kerjasama penggunaan teknologi digital dalam ekosistem koperasi, khususnya bagi pengurusan dokumen dan perjanjian pembiayaan.
Sesi perbincangan bersama Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Wisma Ungku A. Aziz,Kelana Jaya pada 3 November 2026 itu memberi tumpuan kepada cadangan penggunaan Malaysia Digital Agreement Gateway (MyDAG) sebagai platform yang menghubungkan sistem pembiayaan ANGKASA dengan kemudahan pengurusan perjanjian secara digital.
Melalui cadangan tersebut, proses penyediaan perjanjian pembiayaan dapat merangkumi semakan permohonan, pengurusan dokumen, pengesahan identiti melalui MyDigital ID, tandatangan digital serta penyeteman dokumen secara dalam talian melalui perkhidmatan berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Penggunaan platform MyDAG turut dilihat berpotensi mengurangkan kos percetakan, penghantaran dan penyimpanan dokumen, selain memudahkan urusan pentadbiran serta mempercepat proses penyediaan perjanjian pembiayaan.
Perbincangan tersebut juga turut menyentuh tentang aspek keselamatan maklumat, pematuhan perundangan dan penggunaan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dokumen bercetak, selaras dengan usaha memperluas amalan pengurusan yang lebih mesra alam.




Selain pendigitalan perjanjian, YWM turut menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama berkaitan teknologi kewangan digital dan pembangunan wakaf yang berpotensi memberikan manfaat kepada anggota koperasi serta masyarakat.
Kunjungan ini membuka ruang kepada ANGKASA dan YWM untuk meneliti bidang kerjasama yang bersesuaian dengan keperluan gerakan koperasi, khususnya dalam meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.
Hadir sama dalam sesi perbincangan tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kewangan Korporat, Encik Hamzah Haji Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Teknologi Maklumat, Encik Zakaria bin Lat @ Murad, Wakil Yayasan Infaq ANGKASA, Wakil Yayasan Wakaf Malaysia, Wakil MyDigital ID Sdn. Bhd. dan Wakil MyDigital Center Sdn. Bhd.


