ANGKASA terus memperkukuh peranannya sebagai pemudah cara pembangunan perniagaan gerakan koperasi menerusi pertemuan strategik bersama Koperasi Iman Amal Malaysia Berhad (KIAM) di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya pada 5 November 2026.
Pertemuan tersebut diketuai oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Haji Zaharuddin Haji Alias, manakala KIAM diwakili oleh Haji Salleh. Turut hadir ialah Pengurus Besar Bahagian Perdagangan Komersil ANGKASA, Mohd Noor Adam Mohd Nordin.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti peluang perniagaan dan kerjasama komersial yang berpotensi diterokai KIAM dalam ekosistem perniagaan ANGKASA. Selain itu, ANGKASA turut menawarkan khidmat nasihat strategik bagi membantu koperasi berkenaan membina asas perniagaan yang kukuh dan berdaya saing.
Antara aspek yang dibincangkan termasuk perancangan strategik, pengurusan perniagaan dan pengukuhan kepimpinan koperasi. Bimbingan tersebut penting bagi memastikan KIAM, sebagai koperasi yang masih baharu ditubuhkan, mempunyai hala tuju perniagaan yang jelas serta berupaya berkembang secara mampan.
Haji Salleh menzahirkan penghargaan atas kesudian ANGKASA memberikan sokongan dan khidmat nasihat kepada KIAM. Beliau turut menyambut baik tawaran kerjasama perniagaan yang dikemukakan kerana berpotensi membuka peluang baharu kepada pembangunan perniagaan koperasi serta memberikan manfaat kepada anggota.
Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen ANGKASA dalam memperkasakan gerakan koperasi melalui perkongsian kepakaran, bimbingan strategik dan pembukaan peluang perniagaan. Sokongan sedemikian diharap dapat membantu koperasi baharu seperti KIAM membina keupayaan perniagaan, meningkatkan daya saing dan berkembang sebagai entiti yang berdaya maju.




