HomeUncategorizedKoperasi Kariah Masjid Mampu Jadi Pemacu Ekonomi Ummah

Koperasi Kariah Masjid Mampu Jadi Pemacu Ekonomi Ummah

Koperasi Kariah Masjid mampu menjadi pemacu ekonomi ummah sekiranya potensi anggota, aset dan kekuatan komuniti dimanfaatkan secara strategik menerusi aktiviti perniagaan yang berdaya maju.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, institusi masjid yang selama ini menjadi pusat ibadah, pendidikan, kebajikan dan penyatuan masyarakat perlu turut diperkasakan sebagai platform pembangunan ekonomi melalui gerakan koperasi.

Katanya, koperasi membolehkan anggota kariah menggembleng modal, kepakaran dan tenaga secara bersama, manakala keuntungan yang dijana dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan anggota, membantu golongan memerlukan serta menyokong pembangunan masjid.

Sebelum Majlis Perasmian Pembukaan Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah terlebih dahulu menyampaikan Kuliah Subuh bertajuk “Peranan Koperasi dan Masjid” di Masjid Al-Mustaqim, RPR, Kidurong, Bintulu, Sarawak, hari ini (7 November 2026).

Dalam kuliah tersebut, beliau menekankan kepentingan menghubungkan kekuatan institusi masjid dengan kegiatan ekonomi menerusi koperasi, di samping memperkukuh semangat kerjasama, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan anggota kariah. Pendekatan tersebut, katanya, selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya saling membantu dalam melakukan kebajikan dan membina kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, perkembangan Koperasi Kariah Masjid di seluruh negara menunjukkan potensi yang semakin besar apabila sebanyak 622 koperasi direkodkan sehingga 31 Disember 2025 dengan keanggotaan 49,684 orang, manakala jumlah syer dan yuran berjumlah RM16.85 juta, aset RM43.80 juta dan perolehan RM34.82 juta. Beliau berkata perkembangan itu turut mendapat perhatian kerajaan menerusi peruntukan RM6 juta kepada ANGKASA pada 2024, dengan RM500,000 dikhususkan untuk membantu koperasi masjid di kawasan desa.

Mengulas perkembangan Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata koperasi yang ditubuhkan pada 12 Mac 2020 itu kini mempunyai 117 anggota, selain memiliki lima buah kedai koperasi yang disewakan kepada anggota serta tapak untuk aktiviti jualan. Koperasi turut aktif menganjurkan program seperti sukan rakyat, jualan bulanan, jualan berkala dan Fun Run, selain merancang untuk menceburi bidang pertanian fertigasi termasuk penanaman cili dan sayur-sayuran bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.

Beliau turut menggesa koperasi kariah masjid supaya meneroka peluang dalam industri halal yang mempunyai prospek luas, termasuk sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, penjagaan diri, logistik serta pelancongan. Berdasarkan data Halal Development Corporation (HDC), eksport halal Malaysia pada 2025 mencecah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Katanya, perkembangan itu membuka ruang kepada koperasi untuk terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran makanan halal, pengedaran produk tempatan, pembekalan bahan mentah serta pembangunan perusahaan kecil berasaskan komuniti.

Pada masa sama, beliau berkata ANGKASA melihat model Koperasi Kariah Masjid sebagai satu pendekatan yang berpotensi dikembangkan ke peringkat antarabangsa. Usaha memperkenalkan model koperasi Malaysia telah dilaksanakan di beberapa negara termasuk Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina, manakala terbaharu ANGKASA bakal memperkenalkan model Koperasi Kariah Masjid di Jepun melibatkan enam buah masjid yang dikenal pasti untuk pelaksanaan pada penghujung tahun ini.

Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja memperkenalkan model koperasi Malaysia, malah berpotensi membuka jaringan kerjasama ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.

Sementara itu, mini karnival yang berlangsung selama tiga hari dari 6 hingga 8 November 2026 menjadi platform untuk memperkenalkan peranan koperasi kepada masyarakat setempat dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan seperti pertandingan petanque, pertandingan slingshot, pertandingan hafazan surah, sukan rakyat, Program Jualan Rahmah MADANI, jualan makanan dan minuman serta Forum Perdana.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengadakan perbincangan bersama Ahli Lembaga Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Al-Mustaqim. Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perkembangan koperasi, pengukuhan aktiviti ekonomi kariah sebelum meneruskan lawatan ke kedai runcit milik Koperasi Kariah Darul Falah Bintulu Berhad bagi mengakhiri program di Bintulu, Sarawak.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin, Pengerusi ANGKASA Melaka, Haji Zaidan Haji Abd Hadi, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato Dr. Hj. Nasaruddin Othman, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd. Safian Abdul Rahman serta Pemangku Pengurus Dakwah Hikmah, Hikmah Cawangan Kuching, Ustaz Haji Ariffin Haji Sebli.

Turut hadir, Pegawai Latihan Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak (IKMa Sarawak), Encik Mohamad Suandi Mortadza, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Bintulu, Cik Nur Alyaa binti Rothman, Ketua Kaum RPR Kidurong, Haji Ibrahim Edeni, Pengerusi Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong, Encik Masrun Masalim dan Pengerusi Koperasi Kariah Masjid AI-Mustaqim, Encik Bahren Seng Heng.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine