Koperasi Sinar Usaha Berhad (KopSI) mengadakan pertemuan bersama ANGKASA di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 10 November 2026 bagi mendapatkan pandangan, khidmat nasihat serta mengenal pasti bentuk sokongan yang boleh diberikan ANGKASA dalam memperkukuh pengurusan dan pembangunan perniagaan koperasi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah itu menjadi platform perbincangan mengenai keperluan KopSI, khususnya dalam aspek penambahbaikan struktur operasi, kelancaran pengurusan perniagaan dan perancangan strategik koperasi.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah memberikan beberapa pandangan dan cadangan, antaranya menekankan kepentingan koperasi untuk mempergiat usaha pemasaran, meningkatkan hebahan produk serta memperkenalkan produk baharu bagi meluaskan capaian pasaran dan menarik lebih ramai pelanggan.
Beliau turut menjelaskan bahawa ANGKASA boleh membantu menyediakan ruang dan platform bersesuaian bagi membolehkan koperasi mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka, sekali gus memberi peluang kepada KopSI untuk memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan keterlihatan produk dalam pasaran.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan mendapatkan bimbingan ANGKASA dalam merangka perancangan strategik, khususnya bagi memperkukuh aspek pemasaran dan meningkatkan keupayaan operasi koperasi.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Halim Hj. Ibrahim, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA yang menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran. Pertemuan itu turut disertai oleh Encik Hamzah Maideen, Puan Sabiyah Ali dan Puan Ismaliza Ismail yang mewakili Koperasi Sinar Usaha Berhad.
ANGKASA sentiasa komited untuk membantu koperasi melalui khidmat nasihat, bimbingan dan sokongan strategik bagi memperkukuh keupayaan perniagaan serta meningkatkan daya saing gerakan koperasi.







