Program Strategik CoopBizLink Bangkok 2026 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang berlangsung di Bangkok, Thailand menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan perniagaan koperasi serta meneroka peluang kerjasama strategik di peringkat serantau, khususnya dalam usaha meningkatkan daya saing dan keupayaan komersial gerakan koperasi.
Mengangkat tema “Memperkukuhkan Rantaian Nilai dan Memperluaskan Peluang Perniagaan Koperasi”, program selama 4 hari bermula 25 November 2026 itu melibatkan penyertaan 18 buah koperasi terpilih dari Malaysia.
Program ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi pasaran, jaringan strategik serta pendekatan baharu dalam membangunkan ekosistem perniagaan koperasi yang lebih mampan dan berdaya saing.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah IKMa, Datuk Dr. Mohd Ali bin Mansor yang dalam ucapannya menekankan bahawa penyertaan dalam program seumpama ini membuka peluang kepada koperasi untuk meneroka pendekatan lebih inovatif bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuhkan rantaian bekalan serta memperluaskan akses pasaran melalui kerjasama strategik.
ANGKASA turut memainkan peranan aktif melalui penyertaan Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Perniagaan, Haji Zaharuddin Alias dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Perniagaan ANGKASA, Nurul Izatee Md Yusoff.
Dalam program tersebut, Haji Zaharuddin telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Merapatkan Jurang Pengeluaran: Memanfaatkan Jaringan Serantau bagi Meningkatkan Keupayaan Komersial Koperasi” yang mengetengahkan kepentingan membina hubungan strategik antara koperasi, pengeluar dan rakan industri bagi merapatkan jurang antara kapasiti pengeluaran dengan permintaan pasaran.
Pendekatan ini dilihat mampu membuka ruang kepada koperasi untuk membangunkan peluang perniagaan secara bersama, meningkatkan skala operasi dan meneroka pasaran baharu.
Sementara itu, Nurul Izatee turut menyumbang kepakaran sebagai moderator bagi sesi “Peluang Perniagaan bersama Syarikat iBilik, MK Curtain dan Shoraka”, yang memberi ruang kepada peserta memahami potensi kerjasama komersial serta peluang membangunkan rangkaian perniagaan bersama pihak industri.
Secara keseluruhannya, CoopBizLink Bangkok 2026 bukan sekadar platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan perniagaan rentas sempadan yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil.
Penyertaan aktif ANGKASA mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluaskan peluang komersial koperasi, memperkukuhkan kerjasama strategik serantau serta memastikan gerakan koperasi Malaysia terus berkembang sebagai pemain ekonomi yang progresif, kompetitif dan berdaya tahan.




