Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah merakamkan penghargaan kepada Perintis dan Penasihat Induk Koperasi Usaha Rakyat Indonesia (inKUR), Yang Terhormat Bapak Robby Tulus serta barisan kepimpinan organisasi itu atas sokongan padu yang diberikan sehingga beliau terpilih sebagai Anggota Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) Global bagi penggal 2026-2030.
Penghargaan itu dizahirkan semasa kunjungan penanda aras ANGKASA ke inKUR di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia pada 25 November 2026.
Menurut beliau, hubungan kerjasama antara ANGKASA dan inKUR telah terjalin sejak sekian lama, khususnya melalui hubungan erat dengan Robby Tulus serta sokongan koperasi anggota inKUR seperti Pusat Koperasi Kredit Khatulistiwa (PUSKHAT) terhadap program ANGKASA di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik.
“Kita mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dengan pihak inKUR, terutamanya bersama Pak Robby Tulus. Kami di ANGKASA amat berterima kasih atas kesudian pihak inKUR dan koperasi-koperasi anggotanya seperti PUSKHAT yang berterusan menyokong program-program ANGKASA di peringkat ASEAN dan Asia Pasifik. Saya mengharapkan agar sokongan ini akan berterusan,” katanya.
Lawatan penanda aras itu turut disertai 20 delegasi yang terdiri daripada Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Sarawak yang diketuai Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin dan Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman.
inKUR yang merupakan anggota tetap ICA mempunyai dua undi dalam sesi pemilihan anggota lembaga badan koperasi antarabangsa itu. Daripada keseluruhan 24 calon yang bertanding, 15 calon berjaya dipilih sebagai Anggota Lembaga ICA bagi penggal 2026-2030.
Dalam pemilihan di Panama City Convention Centre, Panama pada 15 September 2026 tersebut, wakil rantau Asia Pasifik menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila memperoleh 10 daripada keseluruhan 30 kerusi yang dipertandingkan.
inKUR merupakan antara federasi koperasi di Indonesia yang aktif menyertai program anjuran ANGKASA di Malaysia, antaranya ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025), ASEAN Co-operative High-Level Discussion dan ASEAN Co-operative Networking 2025.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berharap inKUR akan terus memberikan sokongan kepada program anjuran ANGKASA dan ACO pada masa akan datang, khususnya program di peringkat ASEAN seperti The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Meeting 2026 (DRCCMD2026) yang berlangsung di Dili, Timor-Leste baru-baru ini.
Beliau berkata, kerjasama dan perbincangan berkaitan agenda koperasi di peringkat ASEAN dijangka terus dipergiat pada tahun hadapan dan seterusnya, termasuk usaha menjadikan koperasi sebagai salah satu agenda dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Dili, Timor-Leste pada 2029.
“Saya yakin tahun depan dan tahun-tahun mendatang, kita akan ada lebih banyak perbincangan, pertemuan dan mesyuarat yang melibatkan agenda koperasi di peringkat ASEAN. Saya juga ingin semua pihak maklum bahawa Timor-Leste telah bersetuju untuk menjadikan koperasi sebagai agenda semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Dili, Timor-Leste pada 2029,” katanya.
Sementara itu, Bapak Robby Tulus dalam ucapan aluannya menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha serta inisiatif ANGKASA dalam membangunkan dan memodenkan gerakan koperasi di peringkat serantau dan global.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara gerakan koperasi Malaysia dan Indonesia perlu terus diperkukuh bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing serta memastikan manfaatnya dapat dirasai anggota koperasi.
“Kita di inKUR amat percaya dengan impak positif yang mampu dihasilkan melalui kerjasama antara gerakan koperasi di Malaysia dan Indonesia. Kita sebagai warga koperasi seharusnya berpegang teguh kepada Prinsip Ke-6 Gerakan Koperasi iaitu Cooperation among Cooperatives. Kenal pasti kekuatan masing-masing dan mari kita gabungkan kelebihan kita agar anggota koperasi mendapat manfaatnya,” katanya.
Secara keseluruhan, kunjungan tersebut mencerminkan komitmen ANGKASA dan inKUR untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama antara gerakan koperasi Malaysia dan Indonesia serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Hubungan strategik itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan gerakan koperasi yang lebih mampan, berdaya saing serta memberi manfaat kepada anggota koperasi di kedua-dua negara.


