HomeANTARABANGSAMeneroka Inovasi Digital dan Kelestarian Koperasi: Pengalaman Gerakan Koperasi Malaysia di Hangzhou,...

Meneroka Inovasi Digital dan Kelestarian Koperasi: Pengalaman Gerakan Koperasi Malaysia di Hangzhou, China

Oleh: Armand Yusuf

Seramai 23 wakil gerakan koperasi Malaysia berpeluang menimba pengalaman serta meneroka amalan terbaik gerakan koperasi China menerusi penyertaan dalam Program Pengukuhan Kapasiti Antarabangsa untuk Pengurus Koperasi: Memastikan Koperasi Bersedia Menghadapi Masa Hadapan – Inovasi Digital dan Tadbir Urus Koperasi Mampan yang berlangsung di Hangzhou, China, dari 24 hingga 31 Oktober 2026.

Program anjuran ANGKASA dengan kerjasama Zhejiang Institute of Economics and Trade (ZJIET) itu menghimpunkan wakil daripada dua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), serta 10 koperasi dari seluruh negara.

Penyertaan merentas sektor itu mencerminkan komitmen gerakan koperasi Malaysia untuk memperluas pengetahuan, mendapatkan pendedahan antarabangsa serta memperkukuh keupayaan pengurusan dalam mendepani perubahan landskap ekonomi dan teknologi.

Sepanjang program selama lapan hari itu, peserta mengikuti pelbagai sesi perkongsian ilmu, perbincangan dan lawatan lapangan bagi mendalami pendekatan gerakan koperasi China, khususnya dalam aspek inovasi digital, tadbir urus mampan, pembangunan rantaian nilai, pemasaran serta strategi meningkatkan daya saing koperasi. Lawatan lapangan turut memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri pelaksanaan amalan tersebut dalam operasi perniagaan koperasi.

Seiring kemajuan pesat ekonomi China, gerakan koperasi di negara itu turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi masyarakat, khususnya golongan petani kecil. Melalui penyatuan sumber dan usaha bersama, koperasi membantu petani menangani cabaran pengeluaran, mengurangkan kos operasi serta memperluas akses kepada pasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Perkembangan koperasi pertanian di China bermula daripada keperluan petani kecil untuk menangani cabaran pengeluaran, peningkatan kos operasi dan kekangan pemasaran hasil. Melalui penyatuan sumber di bawah koperasi, petani dapat berkongsi kemudahan, mendapatkan input pertanian pada kos lebih kompetitif serta memperluas akses kepada pasaran.

Menurut pensyarah ZJIET, Li Wei, model koperasi pertanian China berteraskan empat prinsip utama, iaitu penyertaan secara sukarela, semangat saling membantu, pengurusan demokratik berasaskan prinsip satu anggota satu undi serta perkongsian risiko dan tanggungjawab ekonomi.

Keistimewaan model itu ialah petani masih mengekalkan pemilikan dan pengusahaan tanah secara individu atau keluarga, manakala aktiviti sokongan seperti pembelian input, pemasaran, pemprosesan dan pengedaran dilaksanakan secara kolektif. Pendekatan tersebut membolehkan petani kecil menikmati kelebihan ekonomi berskala besar tanpa perlu mengubah struktur pengusahaan masing-masing.

Sokongan kerajaan melalui insentif kewangan, kemudahan pembiayaan, latihan teknikal dan pembangunan infrastruktur turut menjadi pemangkin pertumbuhan sektor berkenaan. Sinergi antara petani, koperasi dan kerajaan membentuk ekosistem yang menyokong kelangsungan serta daya saing perusahaan pertanian.

Selain model perniagaan, aspek tadbir urus turut diberi perhatian dalam sesi pembelajaran di ZJIET. Struktur pengurusan koperasi China memperlihatkan pembahagian tanggungjawab yang jelas antara mesyuarat agung sebagai badan pembuat keputusan tertinggi, lembaga pengarah yang mengendalikan operasi perniagaan serta badan penyelia yang memantau pengurusan kewangan dan pematuhan.

Antara amalan yang menarik perhatian peserta ialah pelaksanaan sistem akaun anggota yang merekodkan modal, bahagian rizab serta setiap urus niaga ekonomi anggota bersama koperasi.

Rekod pembelian input pertanian, penjualan hasil dan penglibatan dalam aktiviti ekonomi koperasi digunakan sebagai asas menentukan agihan lebihan atau pulangan berdasarkan sumbangan urus niaga setiap anggota.

Pendekatan itu menjadikan akaun anggota lebih daripada sekadar rekod kewangan, sebaliknya berfungsi sebagai instrumen untuk memastikan pengagihan manfaat dilaksanakan secara telus dan adil, selaras dengan tahap penglibatan ekonomi setiap anggota. Amalan tersebut juga berupaya meningkatkan keyakinan anggota terhadap pengurusan koperasi serta menggalakkan mereka terus aktif menjalankan urus niaga melalui organisasi yang dimiliki bersama.

Transformasi digital turut menjadi antara elemen penting yang diketengahkan menerusi sesi pemasaran e-dagang oleh pensyarah ZJIET, Wang Wenyu.

Menurut beliau, penggunaan platform digital telah mengubah pendekatan pemasaran hasil pertanian daripada kaedah menghasilkan produk terlebih dahulu sebelum mencari pembeli kepada model pengeluaran berasaskan permintaan pasaran.

Melalui koperasi, bekalan hasil daripada petani kecil dapat dihimpunkan dan diselaraskan dari segi kualiti, pembungkusan serta pemasaran sebelum ditawarkan kepada pengguna. Kaedah itu membolehkan pengeluaran dirancang dengan lebih sistematik berdasarkan keperluan dan cita rasa pasaran.

Bagaimanapun, kejayaan perniagaan e-dagang tidak boleh diukur berdasarkan jumlah jualan semata-mata. Koperasi perlu mengambil kira keseluruhan kos operasi, termasuk kos produk, pembungkusan, penghantaran, caj platform dan perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan setiap transaksi memberikan pulangan yang menguntungkan.

Penggunaan video pendek dan siaran langsung juga semakin penting sebagai strategi pemasaran. Melalui pendekatan tersebut, pengguna dapat menyaksikan sendiri proses penggredan, pemeriksaan kualiti dan keadaan sebenar kawasan pengeluaran, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap produk yang ditawarkan.

Selain pendigitalan, pembangunan jenama turut menjadi strategi penting untuk meningkatkan nilai komersial produk pertanian. Dalam sesi perkongsian berasingan, Xu Wei mengetengahkan kepentingan identiti produk, konsistensi kualiti dan kepercayaan pengguna sebagai asas membina jenama yang kukuh.

Kejayaan durian Musang King Malaysia turut dijadikan contoh bagaimana sesuatu produk pertanian mampu memperoleh pengiktirafan pasaran apabila mempunyai identiti tersendiri dan reputasi yang diyakini pengguna.

Di China, pendekatan penjenamaan dilaksanakan menerusi pembangunan Jenama Bersama Wilayah, antaranya Lishui Shangeng di Lishui dan Zuiyi Hangxian di Hangzhou. Inisiatif itu menghimpunkan pengusaha kecil di bawah satu identiti jenama dengan standard kualiti, promosi dan saluran pemasaran yang dikongsi bersama.

Antara pencapaian yang membanggakan ialah jenama Lishui Shangeng yang merekodkan nilai jualan sebanyak 6.505 bilion yuan pada 2025. Malah, sebanyak 44 produknya turut disenaraikan dalam kelompok 100 produk tempatan unggul dan terkenal di wilayah Zhejiang.

Pada masa sama, koperasi turut digalakkan membangunkan jenama masing-masing dengan memberi penekanan kepada mutu produk, ketelusan proses pengeluaran dan hubungan jangka panjang dengan pelanggan. Pendekatan tersebut membuktikan bahawa kerjasama antara pengusaha kecil bukan sahaja dapat memperkukuh identiti produk, malah berupaya meningkatkan daya saing dan membuka peluang menembusi pasaran yang lebih luas.

Pengalaman peserta turut diperkaya menerusi beberapa lawatan lapangan bagi melihat sendiri bagaimana teknologi, pemasaran dan inovasi diaplikasikan dalam aktiviti pertanian.

Lawatan ke Yuhang Supply and Marketing Farm di Liangzhu Street, Yuhang District memperlihatkan gabungan amalan pertanian tradisional dengan teknologi moden. Antara kemudahan yang menarik perhatian ialah Studio Siaran Langsung Common Prosperity yang digunakan untuk memasarkan hasil pertanian secara terus dari lokasi pengeluaran.

Melalui platform tersebut, petani berpeluang memperkenalkan produk, berinteraksi dengan pengguna dan menjalankan pemasaran tanpa terlalu bergantung pada orang tengah. Pendekatan itu bukan sahaja memperluas capaian pasaran, malah memberi peluang kepada pengusaha tani membina hubungan lebih dekat dengan pelanggan.

Sementara itu, lawatan ke Anji Songming Tea Expo Park memberikan pendedahan mengenai pembangunan industri teh putih secara bersepadu, meliputi aktiviti penanaman, penyelidikan dan pembangunan, pemprosesan, pembungkusan serta pemasaran.

Pendekatan tersebut memperlihatkan potensi sektor pertanian untuk menjana pendapatan melalui aktiviti hiliran dan pengalaman pelancongan. Bagi koperasi, konsep itu boleh diteroka melalui pembangunan pakej pelancongan desa, produk berasaskan komuniti serta aktiviti yang mengangkat keunikan setempat.

Satu lagi amalan yang wajar diberi perhatian ialah kerjasama antara koperasi bagi mengatasi kekangan sumber, kemudahan dan keupayaan operasi yang sering dihadapi koperasi berskala kecil. Melalui gabungan koperasi dan platform perkhidmatan bersepadu seperti Nonghelian, koperasi, ladang keluarga serta penyedia perkhidmatan pertanian dapat bergabung dalam satu rangkaian kerjasama.

Menerusi model ini, kemudahan seperti pusat pengeringan, sistem penyimpanan, rantaian sejuk dan kepakaran pemasaran dapat dikongsi bagi mengurangkan kos operasi. Penyelarasan standard kualiti, pembangunan jenama bersama serta pengukuhan hubungan antara pengeluaran, pemasaran dan akses pembiayaan turut dilaksanakan secara lebih tersusun.

Model tersebut menunjukkan bahawa koperasi kecil tidak perlu menanggung keseluruhan kos pembangunan infrastruktur dan kemudahan perniagaan secara bersendirian. Sebaliknya, kerjasama strategik membolehkan sumber dimanfaatkan secara optimum, di samping meningkatkan kapasiti dan keupayaan perniagaan secara kolektif.

Secara keseluruhannya, pengalaman pembelajaran di Hangzhou memberikan gambaran bahawa kekuatan sesebuah gerakan koperasi bukan hanya bergantung pada jumlah anggota atau aset yang dimiliki, bahkan turut ditentukan oleh keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, kehendak pasaran dan landskap perniagaan.

Pengalaman gerakan koperasi China memperlihatkan bagaimana gabungan tadbir urus yang berkesan, pendigitalan, penjenamaan strategik dan kerjasama antara koperasi mampu membentuk ekosistem perniagaan yang lebih kukuh, mampan serta berdaya saing.

Bagi gerakan koperasi Malaysia, pendedahan itu membuka ruang untuk menilai dan memperkukuh pendekatan sedia ada, khususnya dalam memperluas penggunaan e-dagang, menambah baik sistem akaun anggota, membangunkan jenama bersama serta mempergiat kerjasama antara koperasi.

Namun, usaha memodenkan gerakan koperasi perlu berteraskan satu prinsip yang tidak boleh diketepikan, iaitu kepentingan anggota sebagai pemilik dan penerima manfaat utama organisasi. Teknologi dan inovasi sewajarnya dimanfaatkan sebagai instrumen untuk meningkatkan nilai ekonomi anggota, memperkukuh penyertaan serta memastikan manfaat koperasi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine