Penubuhan Koperasi Gabungan Kariah Masjid Dalam Negeri Pahang menjadi langkah strategik dalam menyatukan kekuatan koperasi kariah masjid bagi memperluas peluang perniagaan serta memperkukuh ekonomi ummah.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi gabungan itu berpotensi menyelaras kerjasama antara koperasi, memperluas rangkaian pasaran serta mengukuhkan daya saing melalui pembelian secara pukal dan perkongsian kepakaran.
“Masjid bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah berperanan sebagai pusat pendidikan, penyatuan masyarakat dan pembangunan ummah. Koperasi kariah masjid pula mampu menjadi wadah untuk masyarakat mengumpulkan modal, tenaga dan kepakaran bagi memenuhi keperluan ekonomi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Gabungan Kariah Masjid Dalam Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Masjid Annur, Kuala Krau, Temerloh, Pahang pada 27 November 2026.
Beliau turut menyarankan koperasi kariah masjid meneroka bidang perniagaan berpotensi seperti peruncitan, makanan dan katering, pertanian, dobi, pengurusan korban dan akikah serta perkhidmatan umrah dan haji melalui kerjasama pihak berkelayakan.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Encik Mohd Firdaus Shaari berkata, koperasi digalakkan mencontohi kejayaan koperasi di negeri lain melalui perkongsian pengalaman dan inspirasi dalam pelaksanaan aktiviti perniagaan.
Beliau turut menyifatkan kerjasama proaktif antara SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA dalam usaha menubuhkan koperasi gabungan sebagai langkah penting untuk menyemarakkan gerakan koperasi kariah masjid serta meningkatkan ekonomi masyarakat.
Menurut beliau, perancangan yang telus, teratur dan berstrategi perlu diterapkan bagi memastikan koperasi bersedia melaksanakan aktiviti keusahawanan yang berdaya maju.
Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah B K Koya Moideen Kutty berharap penubuhan koperasi gabungan tersebut dapat memperkukuh kerjasama antara koperasi kariah masjid, menyatukan kekuatan serta kepakaran masing-masing dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada anggota serta masyarakat setempat.
Beliau turut berharap koperasi gabungan itu dapat menjadi platform untuk mengembangkan aktiviti keusahawanan, meningkatkan daya saing koperasi dan memastikan gerakan koperasi kariah masjid di Pahang terus berkembang secara mampan.
Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) turut menyampaikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan berlandaskan prinsip Syariah bagi membantu koperasi mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kedudukan kewangan. Taklimat disampaikan oleh Eksekutif Kanan Susulan Kredit KOPSYA, Muhammad Khairani Sohadi.
Institut Koperasi Malaysia (IKMa) pula menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan latihan, pendidikan dan khidmat nasihat koperasi oleh Pengarah IKMa Zon Timur, Puan Haslinda Sujak, merangkumi aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan pembangunan kepimpinan bagi membantu koperasi meningkatkan keupayaan pengurusan serta operasi.
Mesyuarat tersebut turut menjadi platform memperkukuh gerakan koperasi kariah masjid di Pahang yang mempunyai 87 koperasi setakat 31 Disember 2025, selain memanfaatkan sokongan kerajaan menerusi peruntukan pembangunan koperasi masjid termasuk Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang (HIKMAH).
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil daripada 25 kariah masjid di seluruh Negeri Pahang yang menyatakan komitmen terhadap penubuhan dan pengembangan Koperasi Gabungan Kariah Masjid Dalam Negeri Pahang.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang, Haji Mohd Zahidi Husain (Pahang Timur) dan Dato’ Syed Ali Syed Mohammad (Pahang Barat), Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Pegawai Penyelia (SKM Wilayah Temerloh), Encik Mohd Hafizu Haji Sulaiman serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.






































