Oleh: Muhammad Firdaus Borhan
Konsul Malaysia di Pontianak, Tuan Yang Terutama Encik Mohd. Idham Zuhri bin Mohamed Yunus, memuji kesungguhan ANGKASA yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah atas usaha dan kesungguhan dalam menggalakkan kerjasama antara koperasi Malaysia dengan Indonesia, khususnya di kepulauan Borneo.
Perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh beliau kepada Datuk Seri Presiden semasa sesi kunjungan hormat gabungan delegasi ANGKASA pusat dan ANGKASA Sarawak dalam Program Lawatan Penanda Aras ANGKASA Sarawak ke Pontianak, Kalimantan Barat Indonesia dari 24 hingga 27 November 2026.
TYT Konsul melihat terdapat banyak peluang kerjasama yang boleh dijalinkan antara koperasi terutamanya di Kepulauan Borneo.
“Saya mengikuti perkembangan gerakan koperasi dan saya lihat potensi yang luas untuk kita terokai, bukan hanya berfokus kepada sektor arus perdana sahaja seperti kredit dan peruncitan.
Saya lihat sektor yang berfokus kepada kekayaan sumber alam seperti batu bara, sawit, rotan, serta sagu dan juga sektor perikanan berpotensi besar untuk diperkembang dan dikerjasamakan antara dua negara.
Walaupun sektor tersebut kedengaran biasa, untuk meluarbiasakan hasilnya memerlukan imaginasi daripada kita sendiri untuk menjayakannya” ujar beliau.
Secara statistiknya, terdapat lebih 1,212 buah koperasi di Sarawak, dengan lebih 323,122 anggota individu daripada 40 buah daerah utama di bawah 12 bahagian pentadbiran.
Dari sudut prestasi, gerakan koperasi Sarawak mencatatkan jumlah perolehan RM486.93 juta, jumlah aset RM718.60 juta dan jumlah syer terkumpul RM232.32 juta. Gabungan jumlah koperasi dan anggota di negeri Sabah dan Sarawak sebenarnya mewakili lebih daripada 19.6% daripada 16,486 buah koperasi di Malaysia.
” Kalau kita faktorkan negeri Sabah sekali dalam perkiraan ini, Sabah mempunyai lebih 2,047 buah koperasi, jumlah anggota seramai 388,683 orang, perolehan mencecah RM913.13 juta, jumlah aset RM1.17 billion dan jumlah syer terkumpul RM288.64 juta. Kalau kita gabungkan Sabah dan Sarawak, jumlahnya adalah 3,259 buah koperasi, 711,805 anggota, nilai RM1.4 billion, nilai aset RM1.89 billion, dan jumlah terkumpul syer RM520.96 juta” jelas Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Berdasarkan data terkini daripada Kementerian Koperasi Indonesia (KEMENKOP) dan Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN), terdapat lebih daripada 5,725 buah koperasi di seluruh wilayah Kalimantan Barat yang merangkumi koperasi mikro, makro dan Koperasi Desa & Kelurahan Merah Putih (KOPDES). Daripada jumlah tersebut, terdapat hanya 2,156 buah koperasi yang benar-benar aktif dan berpotensi untuk dikolaborasikan bersama koperasi di Sarawak dan juga Sabah.
” Saya yakin dengan kesungguhan ANGKASA di bawah pimpinan Datuk Seri Presiden dan juga kemampuan ANGKASA Sarawak di bawah pimpinan Wan Azizan Wan Zainal Abidin selaku pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak untuk melakukan segala bentuk inisitif dan eksplorasi sama ada bersifat perniagaan, pembangunan jaringan dan perhubungan serta perkara-perkara berkait bagi membangunkan gerakan koperasi di kepulauan Kalimantan” ujar TYT Konsul semasa pertemuan tersebut.
“Apabila perniagaan berkembang, ekonomi membangun, dan taraf kehidupan masyarakat di kepulauan ini meningkat, maka saya yakin lebih ramai lagi yang akan tertarik untuk belajar dan mendalami sendiri ilmu berkoperasi. Saya yakin jika hari ini sumbangan koperasi mungkin kecil antara 3 hingga 5 peratus daripada Kadar Dalam Keluaran Negara Kasar (KDNK) tempatan dan serantau, apabila lebih ramai tertarik untuk terlibat dalam gerakan koperasi, maka jumlah tersebut akan meningkat sehingga dua digit. Kita perlu terus konsisten dan jangan sesekali menyerah” kalah ujar TYT Konsul lagi.
Dari segi kadar pengangguran dalam kalangan rakyat, kadar pengangguran di Sarawak adalah 3.3% (43,000 orang), Sabah 5.6% (103,400 orang), dan Kalimantan Barat adalah 4.7% (148,660 orang). Sekiranya peratusan tersebut ditukar kepada angka, seramai lebih daripada 295,060, hampir 300,000 orang masih menganggur dan perkara ini jika ada kesungguhan dan usaha yang betul, bersasar dan strategik, perkara ini dapat diatasi dan jumlah pengangguran ini dapat dikurangkan.
Gerakan koperasi di ASEAN berjaya menjana lebih daripada 11 juta peluang pekerjaan, dan di peringkat global, gerakan koperasi berjaya menyediakan lebih 240 juta peluang pekerjaan.













