Usaha ANGKASA memperkukuh gerakan koperasi di Pulau Pinang mendapat suntikan semangat baharu apabila Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib menzahirkan sokongan penuh terhadap beberapa inisiatif utama yang dibentangkan.
Dalam kunjungan hormat ANGKASA ke kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri, Seri Mutiara pada 26 Ogos 2025, Tun Ramli memberi perhatian khusus kepada projek Tanjung Waterfront Harbour Cruise yang dijalankan dengan kerjasama Koperasi Perdasama Pulau Pinang Berhad, Koperasi Mubarak Pulau Pinang Berhad, wakil Universiti Sains Malaysia (USM) dan 13 buah koperasi Pulau Pinang. ANGKASA turut membentangkan konsep Koperasi Kariah Masjid (KKM) sebagai wadah pemerkasaan sosioekonomi umat Islam di negeri tersebut.
Beliau menasihatkan agar pendekatan pembangunan KKM diperkasakan supaya manfaatnya lebih menyeluruh kepada masyarakat setempat. Beliau juga menyatakan keterujaan dengan projek Tanjung Waterfront Harbour Cruise dan yakin projek tersebut mampu membangunkan perniagaan koperasi dalam bidang pelancongan serta mewujudkan peluang pekerjaan
khususnya kepada anggota koperasi dan rakyat Pulau Pinang.










Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika mengulas kepada media Pelancar berkata, nasihat tersebut menjadi panduan penting untuk ANGKASA dan gerakan koperasi menambah sumbangan dalam pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman pula menyatakan bahawa kunjungan tersebut membuktikan pengiktirafan kepimpinan negeri terhadap gerakan koperasi dan mendorong koperasi di peringkat tempatan untuk bergerak lebih proaktif.
Sebagai kesinambungan, satu majlis makan malam anjuran Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) akan diadakan di Pulau Pinang dalam masa terdekat bagi mempromosikan peranan KOPSYA dan Tun Ramli telah menyatakan kesediaannya untuk hadir.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.



