HomeAGENSIANGKASA - JPV Perkukuh Kerjasama Jayakan Projek Penanaman Rumput Napier

ANGKASA – JPV Perkukuh Kerjasama Jayakan Projek Penanaman Rumput Napier

ANGKASA terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memperincikan pelaksanaan projek penanaman rumput Napier di Kluang, Johor.

Sesi perbincangan rasmi yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya itu dipimpin oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik manakala JPV diwakili Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kawalselia Makanan Haiwan,
Ts Dr. Mohd Hishammfariz Mohd Amin.

Perbincangan memberi fokus kepada agenda pembangunan penanaman rumput Napier sebagai sumber makanan ternakan  bagi menyokong hala tuju baharu ANGKASA dalam memperkasakan sektor ternakan dan tenusu.

Rumput Napier dikenal pasti sebagai antara sumber makanan ternakan yang mampu membekalkan kandungan fiber berkualiti tinggi untuk pemakanan lembu. Bekalan yang mencukupi bukan sahaja membantu mengekalkan kandungan lemak susu dan pepejal bukan lemak pada tahap piawaian industri, malah menjadi asas kepada pembangunan industri tenusu yang lebih mampan.

Dalam masa yang sama, projek itu turut menyokong program pembiakan baka lembu tenusu kacukan seperti Holstein dan Friesian sehingga generasi F3 dan F4 bagi menghasilkan baka yang lebih produktif serta berdaya tahan terhadap iklim tropika negara.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi di ladang, penggunaan jentera penuai dan pembungkus silaj turut dicadangkan. Teknologi mekanisasi tersebut berupaya menghasilkan sehingga 150 tan makanan ternakan bagi setiap hektar setahun, di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta meningkatkan kecekapan pengurusan ladang melalui kawalan rumpai dan penyelenggaraan tanaman yang lebih sistematik.

Kerjasama strategik antara ANGKASA dengan JPV itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan ternakan negara, sekali gus menyokong pembangunan industri tenusu yang lebih berdaya saing serta menyumbang kepada usaha memperkukuhkan sekuriti makanan Malaysia.

Turut hadir ialah Konsultan Projek Ternakan Lembu Tenusu dan Heifers Park di Kluang, Dato’ Dr. Azizan Ab Rashid dan Wakil Penyelidik, Encik Phoon Siew Kong.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine