MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. telah memeterai langkah awal kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKT) menerusi pendekatan Industry on Campus (IOC) berteraskan Blue Ocean Strategy (BOS) bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri pelancongan Islam, haji serta umrah.
Perbincangan tersebut yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 6 Ogos 2026 diketuai oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd., Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Turut menyertai sesi tersebut ialah Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasaruddin Othman dan barisan pengurusan MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. serta KKKT.
Dato’ Haji Kamarudin berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar menyediakan latihan industri, malah bertujuan membangunkan bakat profesional melalui gabungan pendidikan dan pengalaman sebenar industri.
“Jika model ini berjaya, kita akan memperluaskannya ke kolej komuniti dan institusi pengajian lain di seluruh negara bagi melahirkan tenaga kerja yang benar-benar memenuhi keperluan industri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KKKT, Puan Siti Nor Azlina Mohd Noor menyifatkan kerjasama itu sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui latihan berasaskan industri serta pembangunan kemahiran yang relevan dengan pasaran pekerjaan.
Dalam sesi perbincangan, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasaruddin turut mencadangkan agar kerjasama tersebut dapat diperluaskan kepada pembangunan Akademi Mutawwif Profesional ANGKASA dengan penglibatan COOP Umrah, Koperasi Kariah Masjid dan institusi pendidikan.
Beliau berkata, inisiatif itu mampu melahirkan mutawwif profesional, memperkukuh ekosistem pelancongan Islam serta membuka peluang ekonomi baharu kepada gerakan koperasi.
Kerjasama strategik tersebut dijangka menjadi model nasional IOC berasaskan koperasi yang menggabungkan pendidikan, industri dan pembangunan ekonomi ummah, sekali gus memperkukuh peranan ANGKASA dalam melahirkan modal insan berkualiti serta menyokong pembangunan ekonomi negara.




