HomeUncategorizedANGKASA Lancar Pusat Pengedaran Strategik: Perkukuh Ekosistem Logistik Koperasi

ANGKASA Lancar Pusat Pengedaran Strategik: Perkukuh Ekosistem Logistik Koperasi

ANGKASA terus memperkukuh ekosistem perniagaan gerakan koperasi negara menerusi pelancaran Pusat Pengedaran ANGKASA melalui kerjasama strategik bersama CJ Century Logistics Sdn. Bhd. Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi pengurusan rantaian bekalan dan sistem logistik koperasi ke arah yang lebih cekap, moden serta berdaya saing.

Majlis perasmian yang berlangsung di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor pada hari ini (4 Ogos 2026) telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Berucap merasmikan majlis tersebut, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, penubuhan Pusat Pengedaran ANGKASA mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam membangunkan infrastruktur strategik bagi menyokong pertumbuhan dan kelangsungan perniagaan khususnya sektor peruncitan koperasi

Beliau berkata, pusat pengedaran itu akan berperanan sebagai hab logistik berpusat yang menyelaras aktiviti penyimpanan, pengurusan inventori serta pengedaran produk koperasi secara lebih sistematik, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing koperasi dalam pasaran.

Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2025, Malaysia merekodkan sebanyak 16,468 koperasi dengan keanggotaan 7.33 juta orang, aset bernilai RM186.75 bilion serta perolehan sebanyak RM81.62 bilion. Prestasi tersebut membuktikan peranan penting gerakan koperasi sebagai antara penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pertumbuhan positif sektor koperasi perlu disokong oleh sistem logistik yang kukuh, selaras dengan perkembangan sektor perkhidmatan negara yang merekodkan hasil sebanyak RM2.6 trilion sepanjang tahun 2025.

Subsektor pengangkutan dan penyimpanan turut mencatat pertumbuhan 8.7 peratus pada suku keempat tahun lalu menunjukkan kepentingan kecekapan rantaian bekalan dalam menyokong aktiviti ekonomi.

Mengulas kerjasama strategik bersama CJ Century Logistics, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, pengalaman luas syarikat berkenaan yang beroperasi di lebih 40 negara selain memiliki 25 gudang dan lebih 700 lori di Malaysia akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan pengurusan logistik koperasi.

Melalui kerjasama ini, ANGKASA akan bertindak sebagai penyelaras yang menghubungkan koperasi dengan penyedia perkhidmatan logistik bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, Pusat Pengedaran ANGKASA turut menjadi pemangkin kepada pengembangan Program BA100 yang kini melibatkan 3,646 outlet BA100 serta tujuh outlet ANGKASAMART di seluruh negara. Pusat tersebut disasarkan menjana pendapatan sebanyak RM18.8 juta menjelang 2027 sebelum meningkat kepada RM38.5 juta dalam tempoh lima tahun menerusi peluasan rangkaian pengedaran dan peningkatan penyertaan koperasi.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50) yang memberi fokus kepada transformasi, pendigitalan serta pengukuhan ekosistem perniagaan koperasi secara menyeluruh.

Terdahulu dalam ucapan aluan Ketua Pegawai Eksekutif CJ Century Logistics Sdn. Bhd., Puan Melissa Khoo Lay Geok berkata, kerjasama strategik bersama ANGKASA merupakan langkah signifikan dalam memperluaskan akses kepada penyelesaian logistik bertaraf industri untuk gerakan koperasi di Malaysia.

Beliau berharap kerjasama antara CJ Century Logistics dan ANGKASA dapat menjadi platform berkesan dalam memperkasakan keupayaan logistik koperasi, meningkatkan kecekapan pengedaran serta membuka lebih banyak peluang kepada koperasi untuk mengembangkan pasaran produk mereka secara lebih luas.

Katanya lagi, sinergi antara kepakaran logistik CJ Century dan kekuatan rangkaian koperasi negara diyakini mampu mewujudkan ekosistem rantaian bekalan yang lebih kukuh, mampan dan berdaya saing.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Tuan Haji Zaharuddin Alias, serta Ketua Pegawai Operasi CJ Century Logistics Sdn. Bhd., Dato’ Gunasegaran Thiagarajah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine