HomeUncategorizedANGKASA - KopNAS Rancang Kerjasama Pemasaran Pakaian Sekolah Secara Digital

ANGKASA – KopNAS Rancang Kerjasama Pemasaran Pakaian Sekolah Secara Digital

Penggunaan teknologi digital dalam urusan pembekalan pakaian sekolah bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengurusan, malah mampu memperkukuhkan daya saing koperasi dalam mendepani perubahan landskap perniagaan semasa.

Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi ANGKASA untuk memperkasakan pendigitalan dan memperluaskan peluang ekonomi dalam ekosistem koperasi negara.

Demikian menurut Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias sewaktu mengadakan perbincangan bersama Koperasi Pekerja Nasional Berhad (KoPNAS) mengenai potensi kerjasama dalam memperkasakan sistem pembekalan pakaian sekolah kepada koperasi-koperasi sekolah di seluruh negara.di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 28 Julai 2026.

Beliau yang mewakili Timbalan Presiden ANGKASA selaku peneraju Kumpulan Perniagaan, menyambut baik cadangan kerjasama tersebut sambil menyifatkan inisiatif yang dibangunkan oleh Lembaga KoPNAS itu sebagai satu pendekatan inovatif yang mampu memberikan manfaat menyeluruh kepada semua pihak, khususnya ibu bapa, koperasi sekolah dan gerakan koperasi secara keseluruhannya.

Perbincangan tersebut juga memberi tumpuan kepada inisiatif KoPNAS dalam menyediakan sebuah aplikasi pembelian dalam talian yang membolehkan ibu bapa serta koperasi sekolah membuat tempahan pakaian sekolah dengan lebih mudah, cepat dan sistematik.

Pendekatan digital ini dijangka dapat menawarkan harga yang lebih kompetitif berbanding pasaran, sekali gus membantu meringankan beban kos persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa.

Selain memberi manfaat kepada pengguna, model perniagaan yang diperkenalkan turut membuka peluang kepada koperasi sekolah untuk menjana pendapatan tanpa perlu menanggung risiko penyimpanan stok. Melalui platform tersebut, koperasi sekolah hanya berperanan sebagai ejen jualan dan akan menerima komisen bagi setiap transaksi yang berjaya dilaksanakan.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kewangan ANGKASA, Encik Hamzah Ibrahim serta barisan kakitangan pengurusan dari Kumpulan Pembangunan Koperasi dan Kumpulan Perniagaan berkaitan yang turut memberikan pandangan serta cadangan bagi memastikan pelaksanaan kerjasama ini dapat direalisasikan dengan berkesan.

Melalui kerjasama strategik ini, KoPNAS dan ANGKASA berharap dapat membangunkan satu ekosistem pembekalan pakaian sekolah yang lebih cekap, berdaya saing dan mampan.

Inisiatif ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan pendapatan koperasi sekolah, malah mampu menyediakan akses kepada pakaian sekolah berkualiti pada harga yang lebih berpatutan demi kesejahteraan keluarga serta memperkukuhkan peranan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi negara.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine