HomeKOPERASIKENDALI Perkukuh Perniagaan, Teroka Peluang Baharu Tingkat Ekonomi Anggota

KENDALI Perkukuh Perniagaan, Teroka Peluang Baharu Tingkat Ekonomi Anggota

Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI) terus memperkukuh agenda pembangunan koperasi dengan memberi fokus kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan pendapatan anggota serta penerokaan peluang ekonomi baharu.

Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi KENDALI, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi perlu lebih proaktif meneroka bidang perniagaan baharu dan tidak hanya bergantung kepada sokongan RISDA bagi meningkatkan perolehan.

“Koperasi tidak boleh hanya bergantung kepada RISDA, sebaliknya perlu mencari peluang dan pendekatan baharu bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Antara cadangan yang diterokai termasuk pembangunan stesen minyak, rumah kedai serta aktiviti pemasaran anak benih getah dan sawit.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 KENDALI yang berlangsung di Dewan Dato’ Haji Omar Osman, Kuala Lipis pada 10 Ogos 2026 itu dihadiri kira-kira 150 anggota.

Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Hj. Mohamad menyeru anggota pekebun kecil supaya mempelbagaikan aktiviti pertanian bagi menambah sumber pendapatan.

“Kita perlu mempelbagaikan aktiviti pertanian serta menggalakkan penyertaan generasi muda dalam koperasi bagi memastikan kesinambungan KENDALI dan memperkukuh ekonomi komuniti pekebun kecil,” katanya.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Raub/Lipis, Encik Mohd Shukemei Ahmad pula menekankan kepentingan tindakan pantas dalam menangani sebarang isu yang dihadapi koperasi.

“Koperasi perlu mengambil tindakan segera terhadap sebarang masalah dan memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan agensi kerajaan bagi memastikan kelangsungan serta prestasi koperasi terus diperkasakan,” katanya.

Berdasarkan statistik SKM sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 62 Koperasi Pekebun Kecil RISDA direkodkan di seluruh negara dengan 146,450 anggota, syer dan yuran RM43.18 juta, aset RM144.67 juta serta perolehan RM113.91 juta.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Adun Padang Tengku, YB Dato Haji Mustafa Long.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine