Koperasi kariah masjid perlu lebih proaktif meneroka dan mengembangkan perniagaan di luar kawasan masjid, di samping terus memperkukuh aktiviti sedia ada seperti kedai runcit dan perkhidmatan dobi yang menjadi antara asas perniagaan pada peringkat awal penubuhan koperasi, kata Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Dalam konteks itu, katanya, penglibatan koperasi kariah masjid dalam pelbagai sektor perniagaan berimpak tinggi mampu memperkukuh ekonomi ummah, sekali gus menjadikan koperasi sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi masyarakat menerusi penciptaan peluang perniagaan, penjanaan pendapatan dan peningkatan kesejahteraan komuniti.
Tambah beliau, penglibatan aktif tersebut juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada jihad ekonomi dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi ummah, dengan koperasi bukan sahaja menjana keuntungan untuk anggota, malah memberi manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan komuniti setempat.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian ketika merasmikan CoopMart Koperasi Masjid As Solihin Kg. Sebatu Melaka Berhad (KOMAS) di Kampung Sebatu Bukit, Merlimau, Melaka pada 9 Ogos 2026.
Terdahulu, Pengerusi KOMAS, Haji Abd. Rashid Mohd. Ali berkata, koperasi yang didaftarkan pada 2023 itu bermula dengan sebuah pusat jualan sebelum sambutan menggalakkan terhadap jualan memberi keyakinan kepada koperasi untuk mengembangkan perniagaan menerusi pembukaan CoopMart.
Menurut beliau, pihak koperasi turut mendapatkan sokongan dan bimbingan ANGKASA ketika merancang pembukaan CoopMart berkenaan, termasuk dalam mendapatkan bekalan barangan menerusi JiMAT Biz, iaitu inisiatif di bawah Program BA100 yang diterajui ANGKASA.
Selain perniagaan runcit, KOMAS turut mempelbagaikan aktiviti perniagaannya menerusi pengurusan ladang kelapa sawit seluas 25 ekar. Menurut Haji Abd. Rashid, koperasi berkenaan menerima bayaran pengurusan bagi mengendalikan ladang tersebut, sekali gus menyumbang kepada pendapatan koperasi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Puan Nora Mohd Noh yang mewakili Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka merangkap Pengerusi Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS), Haji Zaidan Haji Ab. Hadi, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Mohd Nasaruddin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Masjid As Solihin, Haji Zubir Mohd Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Sebatu, Encik Mohd, Fauzi Suleiman serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.
Sejurus selepas majlis perasmian, kepimpinan ANGKASA turut meninjau Program Jualan Rahmah MADANI yang berlangsung di Kompleks JAPERUN Sungai Rambai, anjuran ANGKASA Negeri Melaka bersama KOMAS dari 9 pagi hingga 5 petang hari ini.








































