HomeKOPERASIPerkasakan Koperasi Melalui Kerjasama Pelbagai Pihak

Perkasakan Koperasi Melalui Kerjasama Pelbagai Pihak

Pembangunan koperasi khususnya dalam aspek perniagaan perlu diperkasakan melalui usaha berterusan, sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan koperasi boleh terus berkembang maju dan  memberikan manfaat yang lebih baik kepada seluruh anggotanya.

Demikian menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Hj. Mohamad sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI) ke-39 di Kuala Lipis, Pahang pada 10 Ogos 2026.

Menurut beliau, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi memperkukuh gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti, khususnya dalam membantu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan golongan pekebun kecil.

Usaha menaik taraf koperasi perlu terus digerakkan bagi memperluas aktiviti perniagaan dan meneroka peluang ekonomi baharu yang berpotensi dapat menjana pendapatan.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan, agensi serta pemegang taruh diyakini mampu memperkukuh kapasiti KENDALI untuk terus berkembang sebagai koperasi yang berdaya saing dan memberi impak positif kepada anggota serta komuniti setempat”, katanya.

Dato’ Sri Abdul Rahman juga turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM20,000 kepada KENDALI. Sumbangan tersebut katanya adalah sebagai tanda sokongan beliau terhadap usaha KENDALI memperkukuh peranan koperasi dalam meningkatkan taraf ekonomi serta kesejahteraan anggota pekebun kecil di daerah Lipis.

Di samping itu, beliau juga berharap peruntukan tersebut dapat membantu KENDALI meningkatkan kemudahan dan keupayaan operasi koperasi, sekali gus menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih baik kepada anggota.

Hadir sama di majlis perasmian tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Haji Mustafa Long, Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi KENDALI, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Raub/Lipis, Mohd Shukemei Ahmad dan barisan Anggota Lembaga Koperasi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine