HomeUncategorizedKuatkan Rantaian Ekonomi Melalui Kerjasama Antara Anggota

Kuatkan Rantaian Ekonomi Melalui Kerjasama Antara Anggota

Seramai 42 peserta mewakili 19 buah koperasi anggota baharu ANGKASA Negeri Johor menghadiri Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru ANGKASA 2026 di Johor Bahru pada 15 Ogos 2026.

Program yang dianjurkan oleh ANGKASA Negeri Johor itu telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Dalam ucapannya, beliau menyeru semua koperasi supaya menguatkan rantaian ekonomi melalui kerjasama antara anggota.

Katanya, sokongan anggota terhadap produk atau perkhidmatan yang diniagakan oleh koperasi sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan koperasi untuk terus bergerak maju ke depan.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut mengucapkan selamat maju jaya atas penubuhan 19 koperasi baharu tersebut selain memaklumkan bahawa ANGKASA sedia memberikan khidmat bantuan selaras dengan peranannya sebagai badan apeks gerakan koperasi di Malaysia.

“Sekiranya terdapat sebarang keraguan, cadangan mahupun inisiatif kerjasama yang ingin diketengahkan, saya ingin menegaskan bahawa ANGKASA, baik di peringkat pusat mahupun negeri, sentiasa terbuka untuk mendengar dan mempertimbangkan setiap pandangan serta cadangan yang dikemukakan.

Bagi kami, ruang untuk berdialog, berunding dan bekerjasama sentiasa terbuka luas kerana kami percaya bahawa kekuatan gerakan koperasi terletak pada kesatuan suara, semangat saling menyokong serta jaringan strategik yang kukuh di semua peringkat. Dengan semangat kebersamaan inilah kita dapat terus memperkukuh gerakan koperasi agar lebih mampan, berdaya saing dan inklusif”, ujar beliau mengakhiri ucapan.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Johor, Tuan Haji Sazali Abd Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif MyANGKASA Amanah Berhad, Zaidi Shahrim dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (menjalankan fungsi Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pembangunan ANGKASA), Halim Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine