Program CSR CoopCare bertemakan “Sentuhan Kasih Komuniti Desa Madani” telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Utama Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Selangor hari ini (25 April 2026). Inisiatif ini merupakan kerjasama antara ANGKASA dan JKPPKK Komuniti Desa Madani Kg Selayang Baru dalam usaha memperkasa kebajikan komuniti setempat.
Majlis menyaksikan kehadiran ramai penduduk kampung yang turut sama memeriahkan program. Sambutan positif daripada komuniti Orang Asli mencerminkan keperluan dan penghargaan terhadap program berbentuk kebajikan seperti ini.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang hadir menyampaikan sumbangan. Kehadiran beliau menyerlahkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperluas peranan koperasi melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program seperti ini mencerminkan keprihatinan gerakan koperasi terhadap kebajikan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Menurut beliau, ANGKASA akan terus komited memperkasa komuniti melalui pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya komuniti luar bandar dan Orang Asli, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif negara.
Sebanyak 70 pek bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM3,500. Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban penerima dalam menghadapi kos sara hidup semasa.
Selain itu, program ini turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pihak penganjur dan komuniti Orang Asli, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif di bawah konsep Desa Madani.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) Dato’ Dr. Hj. Nasaruddin Othman, Pengerusi Komuniti Madani Kg. Selayang Baru, Encik Mohd Saiful Mohd Sahak, Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Encik Asran Tepus dan Pengerusi JPKKP Kampung Selayang Baru, Encik Nizamuddin Talib.



























