Penubuhan koperasi kariah masjid akan memberi ruang kepada komuniti setempat untuk menjana pendapatan, memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan kesejahteraan hidup anggota kariah setempat secara kolektif.
Demikian ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa merasmikan Bengkel Penubuhan Koperasi Kariah Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Masjid Jamek An Nur (Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan) pada 14 Februari 2026
Menurut beliau, statistik interim daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia menunjukkan pada Jun 2025, terdapat 588 buah koperasi kariah masjid telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan melebihi 48,578 individu, syer atau yuran sebanyak RM16.67 juta, aset sebanyak RM41.78 juta dan perolehan sebanyak RM17.7 juta.
“Walau bagaimanapun, jumlah tersebut masih kecil berbanding lebih 6,800 masjid di seluruh negara. Ini bermakna masih terdapat ruang yang sangat luas untuk memperluaskan penubuhan koperasi kariah masjid, termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.
ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara sentiasa komited dalam menyediakan latihan pembangunan perniagaan kepada koperasi kariah masjid. Koperasi perlu ditubuhkan dan mampu diurus secara profesional dan berdaya saing.
Selain pembangunan dalam negara, ANGKASA juga giat memperluaskan penubuhan koperasi kariah masjid di peringkat antarabangsa, termasuklah lawatan dan kerjasama strategik dengan negara-negara jiran sepertu di Indonesia baru-baru ini, bagi membuka peluang jaringan perniagaan dan pertukaran kepakaran.
Langkah ini penting dalam membina rangkaian koperasi masjid serantau yang mampu memperkukuh rantaian bekalan serta pemasaran produk halal. Melalui jaringan antarabangsa, koperasi masjid Malaysia berpotensi menembusi pasaran global dan memperluaskan ekonomi ummah secara lebih inklusif”, jelas beliau.
Antara yang patut diketengahkan oleh koperasi kariah masjid adalah produk halal yang mendapat tempat dalam pasaran global. Industri halal di Malaysia terus mencatat perkembangan pesat dengan sumbangan ekonomi yang signifikan, khususnya dalam sektor makanan, minuman, kosmetik dan farmaseutikal.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, 2025), nilai pasaran halal negara sehingga suku ketiga 2025 dianggarkan mencapai RM118.2 bilion. Mengikut Halal Industri Master Plan 2030 pasaran halal global dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030 dan koperasi seharusnya mengambil peluang untuk turut terlibat dalam ekosistem ini.
Di peringkat nasional, ANGKASA juga memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam menyatukan gerakan koperasi, merangsang pembangunan perniagaan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara koperasi bagi memastikan setiap entiti mendapat manfaat daripada kekuatan kolektif.
Beliau berharap bengkel ini dapat memberi kefahaman yang jelas tentang proses penubuhan koperasi, pengurusan tadbir urus yang baik serta potensi bidang perniagaan yang boleh diceburi oleh koperasi kariah masjid termasuk sektor peruncitan, perkhidmatan, pendidikan, pertanian dan kebajikan komuniti.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamrie Gulamrasul, Pengurus Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Labuan, Encik Azmaniansyah Bachok serta Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Safian Abdul Rahman.








