Wednesday, August 6, 2025
HomeAKTIVITIKoperasi SMK RPS Betau Berhad - Perkukuh Peranan Koperasi Sekolah dalam Komuniti...

Koperasi SMK RPS Betau Berhad – Perkukuh Peranan Koperasi Sekolah dalam Komuniti Luar Bandar dan Orang Asli

ANGKASA yakin Koperasi Sekolah di luar bandar boleh memberikan saingan secara lebih signifikan dalam memartabatkan sosioekonomi anggota serta masyarakat setempat.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan koperasi sekolah kepada pembangunan ekonomi setempat bukan sahaja dapat memperkukuhkan semangat keusahawanan dalam.kalangan murid, malah boleh membina budaya perpaduan dan inklusiviti dalam kalangan generasi muda.

Katanya, ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia akan terus memberikan sokongan dan bantuan dalam memperkasakan koperasi sekolah di luar bandar dan termasuk sekolah di kawasan orang asli.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu merasmikan Pembukaan Koperasi SMK Betau Berhad di kedai Koperasi SMK Betau Berhad pada 20 Jun 2025.

Beliau dalam ucapannya turut menegaskan bahawa koperasi sekolah berperanan penting dalam melahirkan generasi pelajar yang celik keusahawanan sekali gus mampu menjana pendapatan sendiri dalam usia muda.

Koperasi SMK RPS Betau Berhad ditubuhkan pada 22 Disember 2023 dengan visi untuk membangunkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar dan menyediakan perkhidmatan yang bermanfaat untuk seluruh warga sekolah.

SMK RPS Betau yang terletak di Lipis, Pahang, merupakan sekolah orang asli pertama di Malaysia yang berjaya menubuhkan koperasi sendiri, dikenali sebagai Koperasi SMK RPS Betau Berhad.

Sekolah tersebut terdiri daripada pelajar orang asli daripada suku kaum Semai, yang merupakan salah satu kaum pribumi utama di Semenanjung Malaysia. Penubuhan koperasi ini menjadi satu pencapaian penting dalam memperkasakan komuniti orang asli melalui pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Koperasi SMK RPS Betau Berhad mempunyai potensi besar untuk diterokai terutamanya dalam sektor pelancongan komuniti. Koperasi ini juga boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan budaya orang asli melalui produk kraf tangan, makanan tradisional dan persembahan tarian kebudayaan.

Pendekatan ini bukan sahaja memupuk rasa bangga dalam kalangan pelajar terhadap warisan budaya mereka, malah turut membuka peluang keusahawanan yang mampu meningkatkan ekonomi tempatan.

Koperasi ini juga turut terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti penjualan alat tulis, makanan, pakaian seragam, dan kini turut meneroka bidang digital dan pelancongan. Inisiatif seperti yang dijalankan di SMK RPS Betau membuktikan bahawa koperasi mampu berkembang dengan identiti tersendiri.

Pengerusi SMK RPS Batau Berhad, Encik Mat Daud Mamat dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dan syukur atas penubuhan Koperasi SMK RPS Betau Berhad yang pertama seumpamanya di sekolah komuniti Orang Asli.

Penubuhan koperasi ini bukan sekadar satu inisiatif perniagaan sekolah, tetapi satu langkah besar dalam memartabatkan potensi pelajar Orang Asli melalui keusahawanan, tanggungjawab dan kepimpinan.

“Kami percaya bahawa anak-anak komuniti ini juga mampu berjaya apabila diberi peluang dan ruang untuk membina keyakinan serta kemahiran. Melalui koperasi, kami belajar bukan sahaja untuk menjual barang, tetapi juga mengurus, merancang, dan membuat keputusan semuanya dengan kerjasama dan semangat kekitaan.

Sokongan penuh daripada pihak sekolah dan komuniti, Koperasi ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kemahiran pengurusan, kewangan dan kerjasama.”, ujar beliau.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Pahang Barat, Dato’ Syed Ali Syed Mohammad dan Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Raub/Lipis/Cameron, Encik Mohd Shukemei Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine