Saturday, August 2, 2025
HomeAGENSILebih Banyak Koperasi Disaran Kuasai Ekosistem Digital

Lebih Banyak Koperasi Disaran Kuasai Ekosistem Digital

Negara memerlukan lebih banyak koperasi yang mampu menerajui sektor ekonomi digital komuniti, berupaya membina platform e-dagang sendiri, menyediakan sistem kewangan digital koperasi dan menjadi pembekal perkhidmatan digital di peringkat tempatan.

Peranan koperasi sebagai pencetus ekonomi rakyat amat penting dalam memastikan ekosistem digital ini dikuasai oleh koperasi yang berteraskan keanggotaan rakyat pelbagai lapisan.

Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa merasmikan Program Transformasi dan Digitalisasi Koperasi (DigiKoP) 2025 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan ANGKASA yang berlangsung ) di Auditorium IKMa, Petaling Jaya pada 17 Julai 2025.

Menurutnya, cabaran besar bagi gerakan koperasi adalah pengadaptasian digitalisasi dalam kalangan koperasi terutama bagi kategori koperasi kecil dan mikro dalam pengurusan dan menjalankan aktiviti perniagaan koperasi.

Justeru, beliau berharap program tersebut akan memberi banyak manfaat kepada koperasi dengan menggunakan teknologi dalam pengurusan dan menjalankan aktiviti perniagaan.

“Tiba masanya koperasi kini beralih kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan koperasi. Walau apa pun cabaran yang dihadapi oleh koperasi, KUSKOP melalui SKM dan IKMa serta ANGKASA akan terus memastikan gerakan koperasi terus memainkan peranan dalam meningkatkan sosioekonomi atau taraf hidup rakyat Malaysia’, katanya.

Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030) yang dilancarkan pada tahun 2023 memberi tumpuan kepada aspek ekosistem pembangunan dan perekonomian koperasi yang lebih kondusif dengan membina sektor koperasi yang berdaya tahan dan berprestasi tinggi. Malah, salah satu strategi untuk mencapai sasaran RM75 bilion adalah dengan memajukan koperasi ke era digital.

KUSKOP juga telah melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP2030) pada tahun 2023 dengan matlamat mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan.

“Di bawah inisiatif digitalisasi ini juga, ANGKASA telah memperkenalkan program BA100 sebagai satu ekosistem pemborongan dan peruncitan digital koperasi. Sehingga kini, sebanyak 3,591 outlet koperasi telah berdaftar di bawah platform ini yang menawarkan produk keperluan asas secara fizikal dan digital, sekali gus membantu komuniti mendapatkan barangan dengan harga kompetitif dan stabil.
ANGKASA juga menjalankan sistem undi untuk memilih pencalonan Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA dan melaksanakan penambahbaikan dalam Sistem Potongan Gaji (eSPGA) secara digital”, ujarnya.

Pada majlis tersebut, dua buah koperasi iaitu Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad dan Koperasi Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah Ipoh Berhad turut berkongsi pengalaman berkaitan operasi perniagaan koperasi mereka yang mengadaptasi penggunaan teknologi digitalisasi.

MYMALL juga turut memberi taklimat dalam pengurusan dan penawaran produk serta perkhidmatan secara dalam talian (online). MYMALL merupakan satu inisiatif KUSKOP bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang inklusif, menjamin caj kepada usahawan serta pembeli yang diselaraskan pada kadar minimum.

Sebuah agensi di bawah Kementerian Digital iaitu MYNIC juga menggalakkan pengadaptasian teknologi dalam koperasi dengan memperkenalkan nama domain COOP.MY sebagai identiti digital koperasi.

Sebagai rekod, sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 133 koperasi telah menggunakan perkhidmatan COOP.MY sebagai identiti digital koperasi mereka.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Bahagian, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Puan Noor Azlin Adnan, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), SKM, Encik Rozdeen Mohd Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa, Encik Mohd Zaib Mat Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) IKMa, Puan Hamidah Mohd Jos.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine