Sumbangan cemerlang ANGKASA dalam pembangunan sumber manusia dan modal insan diiktiraf apabila menerima The Asia HRD Awards 2025 bagi kategori Contribution to Organisation dalam satu majlis di University of Cyberjaya (UoC), Cyberjaya pada 8 Ogos 2025.
Penyerahan anugerah itu telah disempurnakan oleh Canselor UoC, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Perasmian majlis tersebut juga telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Anugerah berprestij itu mengiktiraf organisasi yang membina kejayaan menerusi sistem, proses dan amalan inovatif yang memacu pembangunan menyeluruh warga kerja. ANGKASA telah dipilih sebagai penerima anugerah tersebut oleh Jawatankuasa Anugerah Bebas yang dipengerusikan oleh mantan Menteri Kerja Raya Kerajaan Bahrain, H.E. Engineer Fahmi Ali Al Jowder.
Mengulas pengiktirafan itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil komitmen berterusan seluruh warga kerja ANGKASA dalam membudayakan inovasi dan memperkukuh pembangunan kapasiti sumber manusia. Beliau juga menegaskan bahawa anugerah tersebut bukan sahaja penghormatan kepada ANGKASA, malah pengiktirafan terhadap usaha gigih warga kerja yang sentiasa mencari kaedah baharu untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan. Katanya, anugerah itu menjadi motivasi untuk terus memperkasa modal insan demi kemajuan gerakan koperasi.
The Asia HRD Awards adalah inisiatif bebas yang mengiktiraf individu dan organisasi yang memberi impak atau pengaruh besar kepada masyarakat, organisasi dan komuniti sumber manusia dalam bidang pembangunan modal insan dan/atau pembangunan sumber manusia.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Bahagian Sekretariat dan Pengurusan Aset ANGKASA, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman.
















