Tuesday, March 3, 2026
HomeANTARABANGSAANGKASA Seru Kerjasama Serantau Pacu Pengukuhan Perdagangan Koperasi Asia Pasifik

ANGKASA Seru Kerjasama Serantau Pacu Pengukuhan Perdagangan Koperasi Asia Pasifik

ANGKASA menyeru agar Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC 2025) dijadikan titik lonjakan baharu bagi memperkukuh kerjasama serantau khususnya dalam memperluas perdagangan digital dan membina keupayaan e-dagang gerakan koperasi. 

Perkara itu dizahirkan oleh Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menerusi penyertaan ANGKASA dalam ICA Exhibition and Cooperative Forum at China International Import Expo (CIIE) 2025. Program tersebut berlangsung dari 4 hingga 9 November 2025 di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai sempena sambutan IYC 2025.

Menerusi pembentangan dalam Co-operatives Empowering Sustainable Trade and Supply Chain ICA Trade and Development Forum, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menegaskan bahawa koperasi bukan sekadar entiti ekonomi, malah juga ejen pembangunan sosial yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dengan mengutamakan nilai kebersamaan, tanggungjawab sosial dan keadilan ekonomi. 

Menurutnya, di peringkat global, gerakan koperasi kini merangkumi lebih satu bilion anggota dan telah mewujudkan 280 juta peluang pekerjaan, mewakili kira-kira 12 peratus tenaga kerja dunia. Manakala di Asia Pasifik, dengan keanggotaan lebih 180 juta orang, koperasi memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, membina ketahanan komuniti serta memacu pertumbuhan ekonomi mampan yang berpaksikan rakyat. 

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP memainkan peranan penting dalam menjadi wadah utama bagi memperkukuh rangkaian perdagangan koperasi di peringkat serantau. Jawatankuasa ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan koperasi dari pelbagai negara, menggalakkan pertukaran pengetahuan, inovasi digital serta memperkukuh kedudukan koperasi dalam dasar perdagangan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi pembentangan bertajuk ‘Asia Pacific: Strengthening the Framework for Cooperative Trade’.

“Sebagai contoh, Malaysian Business Office (MBO) yang diluluskan oleh ICA-AP di Kobe, Jepun pada tahun 2013 yang diterajui bersama oleh pegawai dari China, Jepun, Korea dan Malaysia telah menjadi pusat operasi utama bagi aktiviti perdagangan koperasi. Sejak penubuhannya, MBO telah menganjurkan pelbagai misi dagangan, bengkel, pameran dan sesi pemadanan perniagaan yang telah membuka peluang baharu serta memperkukuh kolaborasi antara koperasi di rantau Asia Pasifik,” jelas beliau.

“Namun begitu, masih terdapat cabaran dalam membina rangka kerja perdagangan koperasi yang benar-benar inklusif. Bagi menangani cabaran tersebut, koperasi perlu disepadukan dalam dasar perdagangan nasional dan serantau. Pemudahcaraan piawaian serta pensijilan rentas sempadan, pembangunan keupayaan dan kesiapsiagaan digital juga penting, di samping pengukuhan sumber pembiayaan serta pelaburan bagi meningkatkan daya saing koperasi dalam ekonomi global berasaskan transformasi digital,” tambah beliau.

ICA Exhibition and Cooperative Forum at CIIE 2025 yang dihoskan oleh ICA dan All-China Federation of Supply and Marketing Co-operatives (ACFSMC) serta National Association of Cooperatives and Other Forms of Economic Communities of Kazakhstan, dianjurkan dengan kerjasama Shanghai Municipal Federation of Supply and Marketing Co-operatives serta China-ASEAN Chamber of Agricultural Commerce (CACAC). 

Selain daripada aktiviti Lancang-Mekong Cooperation Forum dan pameran khas di CIIE 2025, delegasi ANGKASA turut telah mengadakan kunjungan ke Shanghai Sanyang Co-op dan National Specialty Food Store dalam usaha membuka peluang kepada koperasi Malaysia memperluas hubungan strategik dan mengenal pasti potensi kolaborasi baharu dalam bidang pertanian, makanan halal dan perdagangan digital.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine