MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. (MTTSB) mengorak langkah dalam sektor pelancongan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 23 rakan strategik pelancongan negeri Sabah bagi Program Jelajah Borneo.
Majlis pemeteraian kerjasama yang melibatkan 19 koperasi serta empat penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan di sekitar Negeri di Bawah Bayu itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 November 2025.
Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa Sabah sememangnya mempunyai kekuatan pelancongannya yang tersendiri.
“Kita sebut sahaja apa produk pelancongan yang kita inginkan, Sabah pada asasnya mempunyai semuanya,” katanya.
“Saya amat yakin bahawa MoU yang ditandatangani antara ANGKASA menerusi MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan koperasi-koperasi pelancongan Sabah pada hari ini akan menjadi satu pemangkin pada pembangunan sosioekonomi pelancongan di peringkat kampung dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.
Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa dalam Rancangan Malaysia Ke-13, koperasi diangkat sebagai sektor pemangkin ekonomi dan sektor ketiga negara, dengan beberapa peruntukan baharu disediakan bagi memperkasa pembangunan koperasi.
Bagi menyokong koperasi pelancongan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM2 juta bagi insentif Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) 2024–2025, dengan sasaran membantu sekurang-kurangnya 100 koperasi di bawah program tersebut menjelang 2026.
Beliau turut berkongsi perkembangan terbaharu pindaan Rang Undang-Undang Koperasi 2026 yang kini di peringkat akhir penggubalan di Jabatan Peguam Negara. KUSKOP dijangka membentangkan Memorandum Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu sebelum bacaan pertama di Parlimen.
Menurutnya lagi, Kementerian Pelancongan secara prinsip bersetuju meminda Akta Pelancongan bagi mengiktiraf koperasi pelancongan sebagai antara pemain rasmi industri pelancongan. Perubahan itu kelak membolehkan koperasi menjalankan aktiviti pelancongan tanpa perlu menubuhkan anak syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Beliau yakin pengiktirafan tersebut akan membuka lebih banyak ruang untuk koperasi terlibat secara aktif dalam sektor pelancongan serta meningkatkan pendapatan mereka.
Sabah kini mempunyai sebanyak 1,994 koperasi dengan keanggotaan 376,000 orang, perolehan terkumpul melebihi RM774 juta dan jumlah aset menghampiri RM1 bilion. Daripada jumlah itu, terdapat 17 koperasi terlibat secara aktif dalam sektor pelancongan dan mencatat pendapatan kira-kira RM21.5 juta pada 2024.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA mengambil inisiatif memperkukuh penglibatan koperasi dalam sektor pelancongan dengan memastikan wujud sebuah entiti yang mematuhi keperluan undang-undang bagi menjalankan aktiviti sektor tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa MTTSB akan bertindak sebagai agensi peneraju dalam menggerakkan pembangunan produk pelancongan koperasi di Sabah.
Menurutnya, hasil Kembara Jelajah Borneo yang disertai kepimpinan ANGKASA pada 2024 telah melahirkan beberapa pakej pelancongan baharu yang direka oleh MTTSB untuk ditawarkan dan dilaksanakan oleh rakan-rakan strategik yang terlibat.
MoU yang ditandatangani memberi fokus terhadap pembangunan dan promosi pakej pelancongan baharu iaitu ‘Kembara Jelajah Borneo’, satu inisiatif strategik yang bertujuan meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai pintu masuk utama ke destinasi Borneo.
Pakej itu dirangka untuk menawarkan pengalaman lengkap merangkumi warisan budaya tempatan, keindahan alam semula jadi, produk pelancongan komuniti serta penginapan yang dikendalikan koperasi dan penyedia tempatan sekali gus memberikan nilai tambah yang lebih asli kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Hadir sama ialah Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Haji Azam Sulaiman, Ketua Penolong Pengarah (Operasi dan Kawal Selia) SKM Cawangan Negeri Sabah, Puan Raftica Supaat, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MTTSB, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul, Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar.
MTTSB ialah anak syarikat milik penuh MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. yang juga anak syarikat milik penuh ANGKASA yang telah diperbadankan pada Januari 2024.



















































