Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIAI, Teknologi dan Kolaborasi : Formula Survival Perniagaan Melayu Muslim

AI, Teknologi dan Kolaborasi : Formula Survival Perniagaan Melayu Muslim

AI, Teknologi dan Kolaborasi : Formula Survival Perniagaan Melayu Muslim ; Teknologi Sebagai Alat dan Nilai Sebagai Panduan”, merupakan tema yang diketengahkan dalam Majlis Usrah Membangun Usahawan Madani (UMUM) Siri Keempat yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 5 Janyari 2026.

Program tersebut merupakan kali kedua buat ANGKASA sebagai tuan rumah dalam penganjuran Usrah bersama Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu menyampaikan ucapan di majlis itu berkata, perkongsian ilmu dan kesedaran bersama terhadap tanggungjawab membangunkan ekonomi ummah adalah bertepatan dengan keperluan semasa.

“Kolaborasi ini memberi manfaat kepada gerakan koperasi dan agensi, malah turut menyumbang kepada pembinaan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.”ujar beliau.

Tambahnya lagi, Usrah Membangun Usahawan Madani ini merupakan medan pembentukan pemikiran, yang menentukan nilai dan hala tuju usahawan koperasi dalam mendepani cabaran semasa.

“Kita sedar bahawa dunia perniagaan hari ini sedang melalui perubahan yang sangat pantas, khususnya dengan kemunculan teknologi baharu dan kecerdasan buatan atau artificial intelligence.” ujar beliau.

Teknologi sewajarnya dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkukuh kecekapan dan daya saing, namun pada masa yang sama, nilai, etika dan prinsip mesti terus menjadi teras kepada setiap keputusan dan tindakan.

Beliau percaya, perkongsian ilmu oleh Pengarah Urusan Kumpulan Shamawar , Dato’ Dr. Shakir Husein akan memberi pencerahan yang bermakna, membuka minda serta membantu para tetamu memahami bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan secara berhemah, selari dengan nilai Islam dan semangat Madani.

ANGKASA akan terus komited dalam memperkasa koperasi melalui pelbagai pendekatan strategik, termasuk pembangunan kapasiti, latihan, bimbingan serta kerjasama dengan agensi berkaitan.

Katanya, dalam menangani transformasi digital gerakan koperasi negara, kerajaan melalui Pelan Tindakan DigiKOP 2030 telah merangka strategi komprehensif untuk mempercepatkan pendigitalan koperasi di seluruh Malaysia.

Pelan ini disokong di bawah Dasar Koperasi Malaysia 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi TransKoM dengan kerjasama KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, IKMa dan ANGKASA untuk memastikan koperasi bergerak seiring dengan perkembangan teknologi serta tuntutan ekonomi digital.

DigiKOP 2030 bertujuan untuk menyediakan ekosistem digital yang bersepadu bagi koperasi, termasuk pembangunan infrastruktur digital, latihan, sokongan teknologi dan rangka kerja tadbir urus yang lebih moden.

Salah satu contoh inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan infrastruktur laman web percuma kepada koperasi supaya mereka dapat menampilkan maklumat dan perkhidmatan secara digital kepada anggota dan pelanggan, merangkumi usaha meningkatkan kecekapan pengurusan dan pemerkasaan ekonomi anggota koperasi agar lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin pantas berubah.

Hadir sama ialah Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Terengganu, Haji Mohamed Yusoff , Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd Latif.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine