Kejayaan sesebuah koperasi tidak bergantung kepada perancangan semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh disiplin pelaksanaan dan kejelasan tanggungjawab setiap lapisan organisasi.
Sehubungan itu, Pengerusi Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, menegaskan bahawa setiap pihak dalam organisasi, merangkumi Lembaga, Pengurusan dan kakitangan, perlu memahami peranan masing-masing serta melaksanakan tanggungjawab dengan jelas dan berfokus.
Menurutnya, aspek tindakan susulan dan pemantauan berterusan oleh pihak pengurusan amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan.
Demikian antara intipati rumusan dan ucapan penutup beliau dalam Program Keselamatan dan Bengkel Semakan Pelan Strategik KOPSYA Lima Tahun (PSK5) yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 Februari 2026. Program berkenaan diadakan selama tiga hari bermula 31 Januari 2026 dan disertai oleh Lembaga, Pengurusan serta kakitangan KOPSYA.
Beliau turut menekankan keperluan pemantauan berkala menerusi mesyuarat lembaga, selain peranan signifikan jawatankuasa kecil dalam memperkukuh tadbir urus koperasi. Katanya, pengerusi jawatankuasa seharusnya membentangkan laporan dalam mesyuarat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan jawatankuasa, di samping memastikan tahap akauntabiliti dan tanggungjawab sentiasa terpelihara.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa koperasi berbeza daripada syarikat konvensional kerana perlu mengekalkan keseimbangan antara keuntungan dan perolehan, serta memastikan setiap tindakan yang diambil selari dengan perancangan strategik yang telah ditetapkan. Keberkesanan pelaksanaan, katanya, perlu dinilai secara berperingkat dan sistematik, termasuk dalam proses pendaftaran koperasi baharu yang memerlukan susulan berterusan bagi memastikan keanggotaan benar-benar direalisasikan.
Selain itu, beliau menggesa seluruh warga KOPSYA agar memanfaatkan jaringan kerjasama yang ada, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, serta menghayati prinsip DUIT dalam melaksanakan amanah, iaitu Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi KOPSYA, Dato’ Haji Mohd. Jamil Othman, Setiausaha KOPSYA, Haji Alimen Ahmad, Bendahari KOPSYA, Haji Mohamad Noor Mohamad, barisan Anggota Lembaga KOPSYA, Jawatankuasa Audit Dalaman KOPSYA yang diketuai Pengerusinya, Encik Hamzah Haji Ibrahim serta Pengurusan KOPSYA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.



