Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM226 juta menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) (TPM-SKM) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkukuh pembangunan dan mempercepat pertumbuhan gerakan koperasi di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Encik Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan RM254 juta yang disediakan Kerajaan MADANI kepada SKM bagi tahun 2026, sekali gus menjadi peruntukan terbesar pernah disalurkan kepada gerakan koperasi sejak penubuhannya pada tahun 1922.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) di PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 4 Julai 2026.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 18 koperasi telah diluluskan pembiayaan berjumlah hampir RM53 juta yang dijangka menjadi suntikan modal penting bagi meningkatkan kapasiti koperasi serta memperkukuh peranannya dalam membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.
“Saya menggesa koperasi agar segera memohon dana tersebut, manakala SKM pula perlu mempercepatkan proses permohonan yang memenuhi syarat serta melengkapkan dokumen yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, prestasi gerakan koperasi terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila perolehan meningkat hampir 20 peratus daripada RM68 bilion pada 2024 kepada hampir RM82 bilion pada 2025.
Katanya, peningkatan itu turut didorong oleh kejayaan penskalaan koperasi apabila 138 koperasi mikro berkembang kepada koperasi kecil, 33 koperasi kecil meningkat kepada koperasi besar manakala 16 koperasi sederhana berjaya beralih kepada kategori koperasi kluster besar.
Sehingga 31 Disember 2025, terdapat 16,468 koperasi berdaftar dengan keanggotaan hampir 7.3 juta individu, sekali gus menunjukkan seorang daripada setiap empat hingga lima rakyat Malaysia merupakan anggota koperasi.
Dalam pada itu, YB Steven Sim berkata, sebaik sahaja diberi tanggungjawab menerajui hal ehwal koperasi, beliau mengambil inisiatif meneliti penulisan Pengasas dan mantan Yang Dipertua ANGKASA, Allahyarham Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bagi memahami falsafah dan prinsip gerakan koperasi yang diasaskan tokoh berkenaan.
Menurut beliau, legasi pemikiran Allahyarham yang menekankan usaha memajukan ekonomi rakyat, memperjuangkan kesejahteraan golongan marhaen serta memperkukuh perpaduan masyarakat perlu terus dihayati dan dijadikan panduan oleh generasi masa kini.
Pada majlis sama, tujuh koperasi menerima pengiktirafan sebagai Koperasi Premier selepas mencatatkan perolehan melebihi RM100 juta, selain dua anugerah baharu diperkenalkan, iaitu Anugerah Khas Menteri (Koperasi Lestari) dan Anugerah Khas Menteri (Koperasi Komuniti).
Majlis turut menyaksikan pelancaran Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah serta barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN).
Sambutan HKN’26 yang bertemakan ‘Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI’ berlangsung selama tiga hari bermula 3 Julai 2026 merekodkan kehadiran 30,000 pengunjung sehingga kini dengan penyertaan 150 reruai pameran daripada pelbagai agensi dan koperasi.



























































