HomeAKTIVITIPencapaian Sasaran Strategik Angkasa Capai 64 Peratus Setakat Ogos 2026

Pencapaian Sasaran Strategik Angkasa Capai 64 Peratus Setakat Ogos 2026

Pencapaian keseluruhan Sasaran Strategik ANGKASA mencatatkan sekitar 64 peratus sehingga Ogos 2026, sekali gus menuntut tindakan penambahbaikan yang lebih berfokus bagi memastikan sasaran organisasi dapat dicapai.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penilaian prestasi perlu diterjemahkan kepada tindakan yang konsisten dan bukannya sekadar pelaporan angka bagi mengenal pasti jurang antara sasaran dengan pencapaian semasa.

Menurut beliau, setiap bahagian, kumpulan, anak syarikat dan ANGKASA Negeri perlu meneliti kedudukan masing-masing serta mengenal pasti punca sasaran tidak dicapai, termasuk kelemahan proses kerja, kekangan sumber dan kelewatan membuat keputusan.

“Perancangan yang baik perlu disusuli tindakan yang konsisten. Sesebuah pelan boleh mengandungi sasaran yang tinggi dan strategi yang baik tetapi nilainya hanya dapat dibuktikan apabila pelaksanaan menghasilkan perubahan,” katanya ketika berucap pada Sesi Bersama Presiden di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 30 Oktober 2026.

Sesi tersebut dihadiri oleh seluruh barisan kepimpinan dan warga kerja ANGKASA.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan kepentingan memperkukuh prestasi kewangan anak syarikat ANGKASA apabila jumlah perolehan bagi Januari hingga Ogos 2026 mencatatkan RM54.36 juta berbanding bajet RM139.25 juta, bersamaan pencapaian 39.04 peratus.

Keuntungan bersih keseluruhan anak syarikat pula merekodkan RM4.40 juta berbanding bajet RM9.26 juta, iaitu pencapaian 47.50 peratus.

Dalam perkembangan berkaitan, MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM2.65 juta sehingga Ogos 2026, diikuti MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd. (MDSB) sebanyak RM1.49 juta. Bagaimanapun, beberapa anak syarikat masih merekodkan kerugian bersih dan memerlukan penelitian serta tindakan pemulihan bagi memperbaiki prestasi masing-masing.

Mengulas sasaran pendapatan organisasi, beliau berkata ANGKASA menyasarkan pendapatan sebanyak RM260.08 juta bagi 2026 sebelum meningkat kepada RM340 juta menjelang 2030.

Katanya, pencapaian sasaran tersebut memerlukan perancangan perniagaan yang kukuh, penerokaan peluang pendapatan baharu serta pelaksanaan projek yang mempunyai asas kewangan dan potensi pasaran yang jelas.

Beliau turut mengingatkan agar setiap projek dinilai berdasarkan permintaan pasaran, kemampuan pelaksanaan, keperluan modal dan risiko sebelum keputusan dibuat, selain memastikan projek yang berdepan masalah dinilai semula dengan tindakan pemulihan yang bersesuaian.

Pada masa sama, beliau mahu kualiti data dan pelaporan diperkukuh bagi memastikan maklumat yang digunakan dalam proses membuat keputusan adalah tepat, konsisten dan boleh disahkan.

Beliau juga menyeru seluruh warga kerja ANGKASA dan anak syarikat memperkukuh komunikasi serta kerjasama merentas bahagian bagi memastikan penyelarasan kerja lebih berkesan, sekali gus mengurangkan kelewatan dalam pelaksanaan sesuatu urusan.

Menjelang penghujung tahun, beliau berharap setiap bahagian memberi tumpuan kepada perkara yang masih perlu diselesaikan serta memastikan persediaan perancangan bagi 2027 dilaksanakan dengan teratur.

Turut berlangsung ialah sesi pembentangan produk oleh Ketua Pegawai Jualan Kumpulan merangkap Pengasas Bersama redONE Mobile, Encik Ben Teh yang memperkenalkan Pelan Mukmin bagi pemilikan telefon pintar secara ansuran serta kerjasama strategik ANGKASA bersama Samsung Electronics Malaysia dan redONE Mobile bagi menawarkan penyaman udara Samsung menerusi pelan sewa milik lima tahun dengan bayaran potongan gaji kepada anggota ANGKASA.

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura dividen berjumlah RM50,000 daripada ANGKASA Resources and Consultancy Sdn. Bhd. (ARC) kepada ANGKASA berdasarkan keuntungan yang direkodkan syarikat itu bagi tahun kewangan 2025.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine