Koperasi universiti boleh berperanan sebagai platform penting bagi memupuk kepimpinan muda yang lebih berkualiti berasaskan prinsip koperasi.
Selain itu, mereka juga boleh membantu merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan tadbir urus dunia nyata di samping mengambil bahagian dalam membuat keputusan secara demokratik, menguruskan kewangan dan melaksanakan khidmat masyarakat yang merupakan tiang asas identiti koperasi.
Selaras dengan Prinsip Koperasi kelima iaitu Pendidikan, Latihan dan Maklumat, koperasi universiti juga boleh membangunkan pemimpin yang beretika, berorientasikan tujuan dan berfikiran global.
Demikian ditegaskan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Vice-Chairperson, ICA Asia and Pacific Committee on Cooperatives in Educational Institutions (ICEI), Dato’ Haji Kamarudin Ismail sewaktu berucap di Majlis Penutup Webinar bertajuk From Campus to Community : University Cooperatives As Leadership Incubators For Purposeful And Ethical Leaders pada 17 Jun 2025 (hari ini).
Menurut beliau, webinar tersebut bertujuan untuk meneroka amalan dan impak pelbagai pembangunan kepimpinan koperasi dalam persekitaran universiti di seluruh Asia dan Pasifik.
“Hasil pembentangan dan dialog, jelas menunjukkan bahawa koperasi kampus merupakan tapak latihan yang membekalkan pemikiran belia dengan nilai-nilai demokratik, akauntabiliti, empati dan kelestarian”.ujarnya.
Sebahagian daripada contoh menarik daripada negara yang berbeza menunjukkan bahawa apabila pelajar diberikan tanggungjawab dan disokong oleh ekosistem, mereka akan lebih berupaya untuk muncul sebagai pemimpin dengan visi dan integriti yang lebih tinggi.
Tambahnya lagi, koperasi di institusi pendidikan berfungsi sebagai jambatan antara teori dan praktik dan pelajar berpeluang untuk belajar kaedah menguruskan kewangan dengan penuh tanggungjawab, membuat keputusan bersama dan terlibat dalam penyelesaian berasaskan komuniti.
Pengalaman tersebut akan meningkatkan kebolehupayaan bekerja, malah membentuk kesedaran sivik dan kesedaran sosial selain sifat-sifat yang sangat diperlukan dalam dunia yang sentiasa berubah dengan pantas.
Peranan koperasi juga berjaya membina perpaduan secara global. Apabila pelajar bekerja secara kolaboratif, merentasi perbezaan dengan keadilan dan penghormatan.
Di luar kampus, koperasi turut memainkan peranan penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang mementingkan sosioekonomi dan solidariti dengan memperjuangkan model ekonomi alternatif yang mengutamakan manusia daripada keuntungan.
Pelajar dilatih untuk mengahadapi dunia pekerjaan, malah pada masa yang sama memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan masyarakat dan negara. Perbincangan tersebut mengukuhkan komitmen bersama dalam menguatkan pendidikan koperasi di semua peringkat.
Para peserta turut disarankan agar mengambil langkah agresif dalam mengembangkan koperasi universiti, melabur dalam pembangunan kepimpinan yang berakar umbi dengan nilai koperasi dan memastikan bahawa golongan muda mendapat manfaat daripadanya.
Menurut Secretary, ICEI & Lead-Environment & Agriculture, ICA Asia and Pacific, Mr. Ganesh Gopal, objektif webinar kali ini diadakan bagi meneroka peranan koperasi universiti dalam memupuk kepimpinan koperasi dan penglibatan, membentangkan pendekatan inovatif kepada pendidikan koperasi dan pembangunan kepimpinan, menukar pandangan serantau dari Negara Jepun, Malaysia, Singapura, Korea dan India, menginspirasi penglibatan belia dalam gerakan koperasi melalui contoh dunia yang sebenar.
Beliau turut berharap agar peningkatan kesedaran mengenai koperasi universiti sebagai pusat kepimpinan koperasi, pembelajaran merentasi negara mengenai amalan terbaik untuk koperasi yang dipimpin oleh pelajar, komitmen yang diperbaharui terhadap penglibatan belia melalui pendidikan koperasi dapat dibentuk dan diperkasakan.
Jawatankuasa ICEI yang ditubuhkan pada tahun 2008 berperanan memupuk pertumbuhan dan integrasi koperasi dalam sekolah, kolej dan universiti selain bertujuan untuk mempromosikan nilai-nilai koperasi dan kepemimpinan dalam kalangan pelajar, fakulti dan pentadbir melalui pendidikan, dialog dan tindakan kolektif bagi membina generasi baharu koperasi.
Tiga panel pembentang terdiri daripada Chairperson of the Student Committee, Korea Federation of University Cooperatives (KFUC), Korea, Mr. Dongjun Kwak, Deputy Chair, Koperasi Siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Berhad, Malaysia, Encik Muhammad Aiman Aqil Muhd Azlan dan Chairperson of Student Committee, National Federation of University Co-operative Associations (NFUCA), Japan tbc, Mr. Keita Takasu.
Turut sama dalam webinar tersebut ialah Chairperson, ICEI dan President, NFUCA, Japan, Prof. Shogo Takegawa dan Co-Secretary, ICEI & Vice Chancellor. Chanakya University, Bangalore, India, Prof. Yashavantha Dongre.






