Satu siri lawatan kerja oleh ANGKASA ke Japanese Consumers Co-operative Union (JCCU) di Tokyo Jepun telah dadakan pada 20 November 2025 bagi meninjau secara lebih dekat tentang model operasi perniagaan JCCU.
Delegasi ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah diberi penerangan oleh Pengarah Urusan JCCU iaitu Mr. Yoshitsugu Fujii tentang teknik menjual produk secara terus kepada pengguna khususnya anggota koperasi bagi memastikan harga lebih rendah dan mampu milik.
Dalam sesi pembentangan, Mr. Fujii menerangkan secara komprehensif mengenai sejarah dan perkembangan JCCU yang ditubuhkan sejak 1951, kini memiliki 31 juta anggota, 303 buah member co-ops, jumlah perolehan sebanyak 3.3 trilion yen, serta dioperasikan oleh 1,407 kakitangan.
Beliau turut memperincikan empat jenis koperasi pengguna di Jepun iaitu Retail Co-ops, Housing Co-ops, Insurance Co-ops, serta Health & Welfare Co-ops sebagai tunjang utama ekosistem koperasi pengguna negara tersebut.
Selain itu, delegasi ANGKASA juga turut diberi pendedahan mengenai rangkaian produk pengguna yang amat luas, termasuk barangan keperluan harian, makanan, produk rumah, kesihatan dan kesejahteraan yang ditawarkan melalui sistem pengedaran koperasi yang sangat teratur, cekap dan berorientasikan anggota.
Model ini menjadi contoh terbaik bagaimana koperasi di Jepun berjaya mengekalkan kesetiaan anggota dan memastikan kebajikan pengguna dilindungi melalui harga yang kompetitif dan kawalan kualiti yang ketat.
Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berkongsi perkembangan gerakan koperasi di Malaysia serta peranan ANGKASA sebagai badan puncak.
Beliau juga menyatakan kesediaan ANGKASA untuk menjalinkan kerjasama lebih luas dengan JCCU khususnya dalam aspek koperasi sekolah, koperasi kariah masjid serta persijilan halal, sejajar dengan kepakaran dan kapasiti ANGKASA dalam sektor pendidikan koperasi dan pembangunan komuniti.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Perniagaan, Haji Ahmad Marzuki Ismail dan Pengurus Seksyen Pendidikan, Encik Abu Bakar Busmah.
Lawatan ke JCCU ini membuka ruang kerjasama antara dua gerakan koperasi besar Asia dan memberi inspirasi kepada ANGKASA dalam memperkukuh model perniagaan koperasi pengguna di Malaysia, khususnya dalam menyediakan produk berkualiti pada harga berpatutan kepada anggota.




















