ANGKASA memuji usaha CLIMBS Life and General Insurance Cooperative (CLIMBS) dari Filipina atas penganjuran Sidang Kemuncak Iklim Koperasi Global Ke-2 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Disember 2025 di Kuala Lumpur, yang dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa peranan koperasi dalam tindakan iklim di peringkat global.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Cooperative Housing International, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan berkata, beliau berharap program seumpama itu dapat diperluaskan penyertaannya kepada delegasi luar pada masa akan datang sebagai langkah mengukuhkan jaringan kerjasama dalam kalangan koperasi di peringkat Asia Pasifik serta memperkukuh perkongsian kepakaran dalam agenda ketahanan iklim.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan 80 delegasi CLIMBS ke Ibu Pejabat ANGKASA di Kelana Jaya, Selangor, pada 3 Disember 2025, sebagai sebahagian daripada pengisian program sidang kemuncak tersebut. Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA-AP), Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Selain mendengar penerangan mengenai peranan dan fungsi ANGKASA yang disampaikan oleh Datuk Haji Mohamad Ali, delegasi turut berpeluang melawat kedai ANGKASAMart dan Coop Farmasi sebagai pendedahan kepada model perniagaan koperasi di Malaysia.
Sidang Kemuncak Iklim Koperasi Global Ke-2 yang bertemakan ‘People, Planet, Purpose’ menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk pemimpin industri, aktivis iklim, koperator serta peneraju inovasi dari seluruh Filipina bagi membincangkan penyelesaian bersama terhadap cabaran iklim di peringkat global.
Program anjuran CLIMBS itu turut memperlihatkan komitmen berterusan gerakan koperasi antarabangsa untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam mitigasi dan adaptasi iklim, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas antara koperasi Malaysia dengan Filipina pada masa akan datang.



