Sebanyak 52 koperasi veteran tentera yang aktif telah dikenal pasti sebagai kumpulan teras pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di bawah seliaan ANGKASA bagi memperkasa sosioekonomi bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, kesemua koperasi berkenaan merupakan ahli ANGKASA yang aktif dan layak menerima geran RM100,000 bagi setiap projek melibatkan lima sektor tumpuan strategik Program SejaTi MADANI termasuk pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
“Jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi 52 koperasi tersebut dianggarkan bernilai RM5.2 juta bagi fasa pertama dan bagi fasa kedua, ANGKASA akan memberi fokus kepada pemulihan 10 buah koperasi veteran yang tidak aktif serta empat buah lagi koperasi veteran yang masih belum menjadi ahli ANGKASA.”
Beliau berkata demikian sewaktu mengetuai Delegasi ANGKASA dalam pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Adly Zahari bagi membincangkan Pelaksanaan Program SejaTi MADANI untuk Koperasi Veteran Tentera di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025.
Tambahnya, di bawah pelaksanaan awal SejaTi MADANI, ANGKASA telah menerima peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan 20 projek dengan 19 projek disiapkan sepenuhnya. Pencapaian ini menjadi asas kepada permohonan dana tambahan RM10 juta bagi membiayai 100 projek baharu termasuk projek khusus melibatkan koperasi veteran tentera.
“Penyertaan 52 koperasi veteran ini bertujuan meningkatkan pendapatan anggota melalui projek ekonomi berdaya maju di samping mengintegrasikan veteran ATM ke dalam ekosistem koperasi negara secara lebih tersusun dan mampan.
ANGKASA berperanan sebagai penyelaras utama meliputi penyeliaan dan pengurusan projek, pemantauan prestasi serta memastikan kelestarian jangka panjang. Dalam masa sama, koperasi veteran menjadi platform pembangunan keusahawanan, latihan kemahiran dan penyatuan komuniti bekas tentera,” katanya.
Jelasnya lagi, bagi memastikan tadbir urus berkesan, Jawatankuasa Pemandu dan Pemantau telah ditubuhkan melibatkan ANGKASA, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) termasuk penyelarasan inisiatif sempena Tahun Koperasi Antarabangsa 2025.
“Langkah ini dilihat sebagai pendekatan berfokus dalam menjadikan koperasi veteran ATM sebagai pemacu ekonomi komuniti sekali gus memperkukuh sumbangan mereka kepada pembangunan negara berteraskan nilai MADANI,” jelasnya.
















Menurut YB Tuan Haji Adly, beliau mengalu-alukan inisiatif ANGKASA dalam memperkasa koperasi veteran tentera menerusi Program SejaTi MADANI dan yakin koperasi mampu menjadi wadah terbaik untuk membantu anggota veteran bergerak lebih maju ke hadapan.
“Kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebelum ini termasuk kerjasama dengan kerajaan dan pihak swasta bagi membantu koperasi dan persatuan veteran menceburkan diri dalam sektor perniagaan berimpak tinggi. Saya melihat kerjasama bersama ANGKASA ini akan membuka peluang perniagaan yang lebih besar kepada koperasi-koperasi terlibat,” katanya.
Beliau turut berpandangan koperasi veteran boleh memanfaatkan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di kem-kem tentera pada setiap hujung bulan bagi memudahkan anggota mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah. Inisiatif tersebut juga diyakini mampu menyumbang kepada peningkatan perolehan koperasi masing-masing.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengurus Besar Kanan, Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Tuan Haji Azmi Jalil.



