Di sebalik kemajuan pesat Jepun sebagai kuasa ekonomi dunia, tersimpan kisah kejayaan yang jarang disorot, iaitu kekuatan gerakan koperasi yang memupuk kesejahteraan masyarakat berasaskan nilai kebersamaan dan semangat kolektif.
Menurut laporan Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik bertajuk Japan Snapshot 2025, Jepun kini mempunyai lebih 40,700 koperasi dengan keanggotaan melebihi 108 juta orang. Keanggotaan itu meliputi beberapa sektor antaranya adalah sektor pertanian, perikanan, pengguna, pekerja, perumahan, kewangan dan penjagaan kesihatan, menjadikan koperasi sebagai tulang belakang ekonomi rakyat Jepun.
Jepun, sebuah negara yang menitikberatkan nilai kolektivisme dan kemajuan bersama telah membuktikan keberkesanan model koperasi dalam menyokong kesejahteraan rakyatnya. Justeru, koperasi di negara matahari terbit itu wajar dijadikan contoh dalam memperkukuh gerakan koperasi di Malaysia.
Seiring dengan hasrat tersebut, Program Jati Diri Koperasi peringkat antarabangsa bertemakan ‘7th Coop Principle In Action: Cooperatives Build A Better Community’ telah diadakan di Tokyo, Jepun dari 5 hingga 10 Oktober 2025.
Program latihan antarabangsa itu merupakan siri ketiga selepas dua penganjuran terdahulu di Goesan Natural Dream Park, Korea Selatan pada 21 September hingga 5 Oktober 2024. Seramai 20 peserta gerakan koperasi Malaysia yang diwakili oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), ANGKASA serta 12 koperasi anggota ANGKASA telah menyertai program itu.
Latihan berkenaan memberi fokus kepada Prinsip Koperasi Ketujuh: Berprihatin Terhadap Masyarakat dengan penekanan kepada tanggungjawab koperasi memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui amalan mampan dan inisiatif sosial berimpak positif.

Japan Co-operative Alliance (JCA)
Seperti Malaysia, di mana ANGKASA merupakan badan apeks gerakan koperasi, begitulah juga di Jepun yang mempunyai JCA sebagai badan penyelaras utama yang menyatukan pelbagai sektor koperasi di negara tersebut.
JCA yang ditubuhkan pada April 2018 mempunyai kira-kira 574 organisasi anggota terdiri daripada 19 persekutuan koperasi peringkat nasional, koperasi pertanian di peringkat wilayah serta sekitar 500 koperasi primer di seluruh Jepun.Mr. Kenki berkata selepas sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa

Seiring dengan misinya ‘Mewujudkan Kehidupan dan Pekerjaan yang Lebih Baik dalam Komuniti Lestari’, JCA berperanan dalam mempromosikan kolaborasi antara koperasi, memperkukuh advokasi, mengemukakan cadangan dasar, memperluas hubungan awam serta melaksanakan pendidikan dan penyelidikan.
Menurut Pengurus Pasukan bagi Identiti Koperasi, Kerjasama Antarabangsa dan Penyelidikan Koperasi JCA, Mr. Kenki Maeda, sebelum penubuhan JCA, Jepun tidak mempunyai entiti sah yang mewakili keseluruhan gerakan koperasi negara itu. Namun, selepas sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) yang pertama pada 2012, wujud momentum baharu untuk memperkukuh kerjasama antara koperasi di Jepun.
Penubuhan JCA turut membuka ruang kepada gerakan koperasi Jepun untuk diwakili dalam meja bulat Kajian Semakan Sukarela (VNR) serta jawatankuasa penyediaan laporan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), memastikan sumbangan koperasi diiktiraf di peringkat nasional.

Kerangka Koperasi Kesihatan dan Warga Emas Jepun
Jepun kini berdepan realiti sebagai sebuah negara yang menua atau aging nation, dengan lebih 29% daripada populasinya bersamaan lebih 36 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas, menjadikannya antara yang tertinggi di dunia. Fenomena itu menuntut sistem sokongan sosial yang kukuh, khususnya dalam aspek kesihatan dan penjagaan warga emas.

Di Jepun, perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas kebanyakannya ditawarkan oleh penyedia swasta, manakala pembiayaannya ditampung melalui sistem insurans sosial nasional berasaskan sumbangan awam dan individu.
Namun begitu, menurut Felo Kanan JCA, Prof. Akira Kurimoto, perbelanjaan perubatan negara tersebut meningkat kira-kira satu trilion yen setiap tahun disebabkan oleh penuaan populasi dan kemajuan dalam bidang perubatan.

Pelaksanaan Akta Insurans Penjagaan Jangka Panjang (2000) membuka peluang kepada penyedia bukan awam, termasuk koperasi, untuk terlibat secara aktif dalam penyediaan perkhidmatan kebajikan dan penjagaan warga emas. Selain sektor awam dan korporat perubatan, koperasi turut berperanan sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas di Jepun.
Gabungan koperasi pertanian di peringkat wilayah (koseiren), koperasi pengguna, koperasi kesihatan, koperasi perikanan dan koperasi pekerja merupakan antara penyedia utama perkhidmatan kesihatan dan penjagaan sosial.
Menariknya, daripada 114 buah hospital di bawah Koseiren, sebanyak 47 daripadanya beroperasi di kawasan berpenduduk kurang daripada 50,000 orang, manakala 20 buah hospital merupakan satu-satunya kemudahan kesihatan yang beroperasi di kawasan tersebut.
Hospital dan klinik Koseiren turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan seperti penempatan dan latihan doktor, klinik bergerak serta aktiviti promosi kesihatan untuk masyarakat tani. Sebahagian hospital dan klinik Koseiren juga telah diambil alih menjadi kemudahan perbandaran bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dikekalkan di kawasan berpenduduk kecil.
Koperasi kesihatan pula giat memperjuangkan usaha membina komuniti sihat melalui rangkaian promosi kesihatan, rawatan perubatan dan penjagaan jangka panjang yang saling melengkapi. Sejak tahun 1990-an, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kepada masyarakat dapat disampaikan secara bersepadu dan berterusan.
Inisiatif tersebut turut seiring dengan dasar rasmi negara Jepun menerusi konsep ‘Penjagaan Komuniti Bersepadu’ yang menekankan penyediaan perkhidmatan kesihatan dan sosial secara menyeluruh di peringkat komuniti.
HeW CO-OP JAPAN: Menggerakkan Kesihatan dan Kebajikan Komuniti
Sebagai tindak balas terhadap keperluan masyarakat menua, Japanese Health and Welfare Co-operatives Federation (HeW CO-OP JAPAN) ditubuhkan pada 9 September 2010 bagi menyatukan koperasi kesihatan dan kebajikan di seluruh negara.
HeW CO-OP JAPAN kini mempunyai 97 koperasi anggota (96 koperasi kesihatan & kebajikan serta Japanese Consumers’ Co-operative Union), 2.9 juta ahli dan jumlah perolehan sebanyak 2,211.66 juta yen bagi tempoh 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
Koperasi kesihatan dan kebajikan di Jepun yang beroperasi di bawah Akta Koperasi Pengguna berperanan mewujudkan komuniti sihat serta memastikan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat melalui usaha membina persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat.

Di samping memiliki dan mengendalikan institusi perubatan serta kemudahan penjagaan jangka panjang, koperasi tersebut melaksanakan pelbagai projek dan kempen bersama anggota komuniti dan kakitangan koperasi bagi menangani isu-isu kesihatan dan sosial setempat.
Selain itu, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi mewujudkan ruang interaksi komuniti seperti menyewa rumah kosong, menggunakan ruang perniagaan, kediaman ahli atau pusat komuniti untuk menganjurkan sesi minum teh, jamuan, aktiviti promosi kesihatan dan perbualan santai.

Koperasi berkenaan turut menekankan semangat berdikari dalam kalangan ahlinya bagi menangani cabaran harian dengan menggalakkan mereka mencipta penyelesaian sendiri. Kakitangan koperasi di seluruh negara membantu menyelaras keperluan komuniti, termasuk urusan harian seperti membeli-belah, menemani ahli ke hospital, membersihkan kawasan dan membantu kerja ringan.
Peranan koperasi pengguna dalam masyarakat super-aged
Sebagai tindak balas terhadap keperluan masyarakat menua, Japanese Health and Welfare Co-operatives Federation (HeW CO-OP JAPAN) ditubuhkan pada 9 September 2010 bagi menyatukan koperasi kesihatan dan kebajikan di seluruh negara.
Dalam menghadapi masyarakat sangat menua (super-aged), koperasi pengguna di Jepun memainkan peranan strategik dalam menyokong sistem penjagaan komuniti bersepadu melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan dan sokongan harian kepada warga emas.
Koperasi pengguna mengendalikan sebanyak 938 buah kedai di seluruh Jepun bagi tahun kewangan 2022 dengan menawarkan pelbagai format kedai termasuk kedai bersaiz besar dan kecil yang disesuaikan mengikut keperluan setempat. Selain itu, koperasi turut mengoperasikan 251 kenderaan jualan bergerak dan 129 kenderaan ulang-alik membeli-belah di seluruh negara bagi membantu warga emas yang sukar keluar rumah mendapatkan barangan keperluan harian.

Inisiatif berkenaan turut diperkukuh melalui perjanjian pemantauan komuniti yang dimeterai bersama 1,308 majlis perbandaran di 33 wilayah, meliputi lebih 75% daripada keseluruhan majlis tempatan di Jepun. Menerusi rangkaian penghantaran rumah, pekerja koperasi memainkan peranan penting dalam mengenal pasti situasi kecemasan seperti penghuni yang tidak memberi maklum balas atau rumah yang tidak berlampu.
Selain itu, beberapa koperasi wilayah turut melaksanakan pelbagai pendekatan inovatif dalam menyantuni masyarakat menua. Co-op Shimane, misalnya, menjalankan program kunjungan rumah secara berkala untuk memeriksa keadaan warga emas yang tinggal bersendirian, di samping menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan berkhasiat terus ke rumah mereka.
Miyagi Co-op dan Co-op Fukushima pula memberi tumpuan kepada pemulihan komuniti pasca gempa bumi, dengan menubuhkan pusat komuniti mudah alih yang berfungsi sebagai tempat interaksi sosial dan sokongan kesihatan mental kepada warga emas. Sementara itu, Co-op Kobe melaksanakan program latihan keselamatan komuniti serta aktiviti kesukarelawanan yang menggalakkan ahli koperasi membantu jiran berusia lanjut di kawasan kejiranan masing-masing.


Penutup
Setiap negara mempunyai konteks, undang-undang serta struktur gerakan koperasi yang berbeza. Jepun membuktikan bahawa kejayaan koperasi bukan sekadar bergantung kepada kekuatan ekonomi, bahkan pada kemampuan membina jaringan sokongan sosial yang kukuh dan lestari.
Nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang diterapkan dalam sistem penjagaan komuniti di Jepun menjadi bukti bahawa gerakan koperasi mampu memainkan peranan penting dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat.
Malaysia juga mempunyai potensi besar untuk menyesuaikan pendekatan itu mengikut keperluan tempatan, bukan dengan meniru sepenuhnya tetapi dengan memperkukuh asas koperasi sedia ada agar terus relevan, berdaya tahan dan memberi impak nyata kepada kesejahteraan masyarakat.









































































































