Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedANGKASA–BAZNAS Perkukuh Ekonomi Kariah Melalui Koperasi Masjid di Bandung Barat

ANGKASA–BAZNAS Perkukuh Ekonomi Kariah Melalui Koperasi Masjid di Bandung Barat

ANGKASA meneruskan komitmennya di peringkat serantau dengan penubuhan Koperasi Kariah Masjid Ash-Sholihin Cisarua di Bandung Barat, Indonesia yang dirasmikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada hari ini (8 Februari 2026).

Majlis perasmian ini bukan sahaja menandakan penubuhan sebuah entiti ekonomi komuniti berasaskan masjid, malah menjadi platform penting bagi perkongsian ilmu dan pengalaman antara Malaysia dan Indonesia dalam membangunkan koperasi masjid yang mampan, berdaya saing serta berteraskan prinsip syariah.

Ketibaan delegasi ANGKASA telah disambut oleh Ketua BAZNAS Republik Indonesia yang diwakili oleh Koordinator Program BAZNAS Microfinance Masjid, M. Sholeh, Kepala Bagian Humas BAZNAS RI, Yudhiarma MK, M.Si, Pimpinan BAZNAS Jawa Barat, Wakil Ketua III, Ibu Hj. Ruri, serta Kepala Kementerian Agama Kabupaten Bandung Barat, H. Mukti.

Dalam ucapan alu-aluannya, M. Sholeh merakamkan penghargaan atas kesudian delegasi ANGKASA berkunjung ke Bandung Barat. Beliau menegaskan bahawa penubuhan Koperasi Masjid Ash-Sholihin adalah satu langkah strategik dalam memperkukuh ekonomi kariah serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat secara berterusan.

Menurut beliau, koperasi masjid bukan sahaja menyediakan peluang ekonomi, malah dapat menjadi pusat pembangunan sosial dan kebajikan komuniti yang inklusif dan berdaya saing.

Program ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi kariah melalui pelaksanaan aktiviti koperasi yang tersusun, inklusif dan berdaya saing, khususnya dalam menyokong keperluan ekonomi komuniti kariah masjid.

Delegasi ANGKASA turut mengadakan lawatan ke kawasan sekitar bagi mengenal pasti potensi ekonomi komuniti setempat yang boleh dimanfaatkan secara optimum menerusi gerak kerja dan inisiatif koperasi masjid.

Sesi perbincangan bersama pengurusan koperasi pula menekankan kepentingan tadbir urus yang telus, pengurusan yang profesional serta penglibatan aktif ahli kariah sebagai asas utama kejayaan dan kelestarian koperasi masjid.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya menegaskan bahawa masjid perlu kembali berperanan sebagai pusat kegemilangan ummah, bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan masyarakat. Beliau berkongsi pengalaman ANGKASA dalam membangunkan koperasi masjid di Malaysia yang berfungsi sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf hidup komuniti setempat, selaras dengan prinsip syariah dan tadbir urus yang baik.

Menurut beliau, “Pengurusan koperasi masjid yang baik mampu menjadi pemangkin utama kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat, sekali gus mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegemilangan ummah.”

Program ini mencerminkan kesungguhan ANGKASA dalam menyokong pembangunan koperasi masjid sebagai teras kesejahteraan ummah, di samping memperkukuh kerjasama serantau antara Malaysia dan Indonesia dalam memartabatkan ekonomi kariah berasaskan institusi masjid.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine