Penglibatan sektor koperasi sebagai entiti ekonomi dalam membangunkan sektor agromakanan negara perlu terus diberi keutamaan bagi menjamin keterjaminan serta keselamatan makanan negara.
Sehubungan itu, ANGKASA dan Jabatan Pertanian (DOA) secara dasarnya bersetuju untuk meneruskan kerjasama strategik sebagai kesinambungan kepada kerjasama yang telah terjalin sejak 2023. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneliti dan memperhalusi cadangan kerjasama yang dikemukakan, termasuk memuktamadkan terma rujukan (TOR) sebelum menandatangani perjanjian secara rasmi.
Agenda perlanjutan kerjasama tersebut merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Strategik antara Jabatan Pertanian dan ANGKASA Bil. 1/2026 yang berlangsung di Wisma Tani, Putrajaya pada 13 Februari 2026.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Encik Johari Abdullah.
“Kerjasama yang terjalin antara Jabatan Pertanian dengan ANGKASA dalam tempoh dua tahun ini telah memberikan impak yang amat positif seterusnya menjadi landasan yang kukuh untuk pembangunan pertanian yang berkesinambungan, di samping dapat meningkatkan pendapatan petani khususnya anggota koperasi di bawah ANGKASA dan meningkatkan penyertaan koperasi dalam pertanian,” kata Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Sebagai rekod, ANGKASA telah menandatangani Nota Kerjasama bersama Jabatan Pertanian pada 14 Jun 2023 yang berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun. Skop utama bagi kerjasama strategik itu merangkumi perkongsian dan pemindahan teknologi serta inovasi dalam pertanian di samping bagi pembangunan modal insan terlatih bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tanaman melalui program latihan dan bimbingan teknikal yang bersesuaian.
Tambah beliau, antara kerjasama yang telah dilaksanakan bersama Jabatan Pertanian, khususnya di peringkat negeri, termasuk Pembangunan Projek Tanaman Melon di Taman Agroteknologi Pertanian PERDA, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Sementara itu, Encik Johari dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak amat diperlukan memandangkan pembangunan sektor agromakanan tidak mampu dilaksanakan secara bersendiri.
Menurutnya, penyambungan kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua pihak menilai cabaran yang dihadapi serta merangka pendekatan lebih tersusun bagi memperkukuh pelaksanaan projek.
Beliau turut mencadangkan agar kerjasama pada fasa seterusnya memberi tumpuan kepada tujuh tanaman strategik, iaitu jagung bijian, bawang, kelapa, kopi, cili, kobis dan halia. Tanaman berkenaan menjadi keutamaan bukan sahaja di peringkat Jabatan Pertanian, malah turut diberi perhatian oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai usaha meningkatkan kadar sara diri (SSR) bagi komoditi yang masih berada pada tahap rendah.
Selain membincangkan penyambungan kerjasama, mesyuarat tersebut turut menyaksikan pembentangan pencapaian kemajuan projek kerjasama strategik antara ANGKASA dengan Jabatan Pertanian oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd Jalil.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengurus Besar Bahagian Pertanian Asas Tani dan Perladangan, Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Encik Muhammad Zuhid Jamaludin.


















