Friday, April 3, 2026
HomeUncategorizedPendanaan Mampan Kunci Daya Saing Gerakan Koperasi

Pendanaan Mampan Kunci Daya Saing Gerakan Koperasi

Sektor koperasi perlu beralih kepada pendekatan lebih inovatif dan inklusif khususnya dalam aspek pembiayaan bagi memastikan kelangsungan dan daya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Pengerusi Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat), Encik Mohd Najib Haji Mohd Noor menegaskan bahawa penganjuran Program Round Table Discussion (RTD) yang dianjurkan di Universiti Islam Selangor (UIS) pada 1 April 2026 bertemakan “Memacu Transformasi Sektor Koperasi Melalui Ekosistem Pendanaan Mampan” menjadi platform penting untuk menilai semula pendekatan sedia ada serta merangka model pembiayaan baharu yang lebih strategik dan relevan kepada gerakan koperasi.

Menurut beliau, isu akses kepada pembiayaan kekal sebagai antara cabaran utama yang membantutkan perkembangan koperasi, sekali gus mengehadkan keupayaan sektor itu untuk memberi impak lebih besar kepada anggota dan komuniti.

“Tanpa sumber pembiayaan yang mencukupi, fleksibel dan strategik, koperasi akan terus berdepan kekangan untuk berkembang secara mampan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk meneroka pendekatan baharu yang lebih inovatif termasuk memperkukuh ekosistem pembiayaan yang mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang koperasi.

RTD tersebut turut dilihat sebagai medium untuk mengenal pasti jurang dalam sistem sedia ada selain menghimpunkan pandangan pelbagai pihak bagi merangka cadangan penambahbaikan yang praktikal dan boleh dilaksanakan.

Dalam pada itu, kerjasama strategik antara Koop Sahabat dan Universiti Islam Selangor disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkukuh hubungan antara industri dan akademia, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran serta pelaksanaan kajian industri.

Beliau berkata, kolaborasi tersebut bukan sahaja membantu memahami isu koperasi secara lebih mendalam malah berupaya menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan dan berasaskan realiti semasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri UIS, Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed dalam ucapan aluannya menegaskan sektor koperasi memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi komuniti serta memperluas penyertaan masyarakat secara inklusif. Namun, kekuatan sektor itu amat bergantung kepada keupayaan pengurusan kewangan dan akses kepada sumber pendanaan yang mampan.

Beliau berkata, penganjuran RTD tersebut bertepatan dalam usaha mencari pendekatan baharu, memperkukuh kerjasama strategik serta membina ekosistem pembiayaan yang lebih tersusun dan berdaya tahan. Selain itu, kerjasama antara UIS dan Koop Sahabat yang dimeterai turut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan institusi serta memperluas sokongan kepada pembangunan sektor koperasi, sekali gus menjadi pemangkin kepada ekosistem pendanaan yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

RTD tersebut menyaksikan dua sesi perbincangan melibatkan enam panel termasuk Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik iaitu Sesi 1 bertajuk “Sumber Dana Koperasi: Dalaman dan Luaran – Cabaran dan Peluang” serta Sesi 2 bertajuk “Strategi Memperkukuh dan Menambah Baik Ekosistem Dana Koperasi.”

Dalam pembentangannya, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman menegaskan kepentingan peranan semua pihak termasuk kerajaan, agensi dan koperasi sendiri dalam usaha meningkatkan keupayaan serta keluar daripada kluster mikro, yang menurut perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun 2024 merangkumi 13,508 daripada 16,284 koperasi atau 82.3 peratus.

“Angka tersebut merupakan antara cabaran terbesar gerakan koperasi ketika ini dan dengan pendanaan yang lebih efisien, saya yakin sektor ini akan lebih berdaya saing serta mampan pada masa hadapan,” katanya.

Hasil perbincangan RTD tersebut merumuskan beberapa cabaran utama yang masih membelenggu sektor koperasi termasuk kelemahan tadbir urus dan pematuhan, akses pembiayaan yang terhad khususnya bagi koperasi kecil serta ekosistem pendanaan yang masih berpecah dan tidak bersepadu. Selain itu, kekurangan kapasiti serta kepakaran dalam pengurusan kewangan dan risiko turut dikenal pasti sebagai faktor yang menjejaskan keupayaan koperasi untuk berkembang secara mampan, di samping tumpuan ekonomi yang masih belum optimum terhadap aktiviti berimpak tinggi.

Bagi menangani isu tersebut, beberapa strategi utama telah digariskan antaranya memperkukuh tadbir urus berteraskan prinsip Syariah, ketelusan dan akauntabiliti serta menerapkan elemen ESG dalam operasi koperasi. RTD turut menekankan keperluan meneroka sumber pembiayaan inovatif seperti blended finance, instrumen kewangan Islam serta memperkukuh kerjasama strategik antara koperasi, institusi kewangan, kerajaan dan institusi pendidikan.

Selain itu, penekanan turut diberikan kepada pembangunan kapasiti melalui latihan dan sokongan teknikal, di samping mempercepat transformasi digital dalam sistem kewangan koperasi. Koperasi juga digalakkan berfungsi sebagai pemacu ekonomi komuniti dan entiti berimpak sosial dengan penilaian impak sebagai nilai tambah kepada pelabur.

Turut hadir ialah Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Zurina Shafii dan Pemangku Pengarah International Research Centre of Islamic Economics and Finance (IRCIEF) UIS, Encik Ahmad Yani Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine