Saturday, May 23, 2026
HomeAGENSIKomunikasi Serta Keterampilan Penting Dalam Kalangan Pemimpin ANGKASA

Komunikasi Serta Keterampilan Penting Dalam Kalangan Pemimpin ANGKASA

Pemimpin di peringkat negeri, iaitu Pengerusi-Pengerusi ANGKASA Negeri merupakan suara kepada gerakan koperasi.

Justeru, kemahiran komunikasi strategik amat penting bagi memastikan setiap dasar, aspirasi dan agenda koperasi dapat diterjemahkan dengan jelas terutama kepada pihak pengurusan dan kakitangan serta komuniti.

Demikian ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa merasmikan Kursus Pemantapan Komunikasi Strategik Dan Keterampilan Diri Yang Berkesan yang berlangsung selama tiga hari sejak 22 Mei 2026 di Hotel Tenera, Bangi.

Dalam era digital dan keterbukaan maklumat hari ini, kepimpinan koperasi dinilai melalui keupayaan mengurus, malah melalui kebolehan menyampaikan mesej secara strategik, berhemah dan berkesan kepada anggota, pemegang taruh serta masyarakat.

Kursus tersebut diadakan untuk Anggota Lembaga ANGKASA, barisan Pengerusi-Pengerusi ANGKASA Negeri, Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Penasihat-Penasihat Korporat dan Barisan Pengurusan Kanan ANGKASA.

Menurutnya, program seperti itu amat penting dan bertepatan dengan keperluan semasa gerakan koperasi yang kini berhadapan dengan landskap komunikasi yang semakin mencabar dan dinamik termasuklah keperluan memahami sesi protokol kehadiran di majlis rasmi.

Ia juga merupakan platform dan ruang memperkukuhkan keseragaman imej dan pendekatan pemantapan komunikasi strategik kepimpinan ANGKASA di seluruh negara.

Setiap kepimpinan dan pengurusan tertinggi ANGKASA perlu tampil sebagai jurucakap koperasi yang berwibawa, pemimpin yang mempunyai naratif strategik serta duta gerakan koperasi yang mampu membina keyakinan masyarakat terhadap peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.

Ia seiring dengan gerakan koperasi yang diletakkan sebagai antara pemacu ekonomi rakyat yang inklusif dan mampan selaras dengan agenda pembangunan negara serta aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan kursus ini dengan berkongsi pengalaman, memperkukuhkan jaringan kerjasama serta membina kesefahaman yang lebih mantap antara ANGKASA Pusat dan ANGKASA Negeri.

Kepimpinan yang berkesan memerlukan komunikasi yang jelas, manakala organisasi yang dihormati memerlukan disiplin protokol yang mantap. Kedua-dua elemen ini perlu digabungkan supaya ANGKASA menjadi organisasi yang profesional dan relevan dalam memimpin gerakan koperasi negara.

Penceramah jemputan terdiri daripada Pensyarah Universiti Pusat Kajian Minda & Komunikasi (MENTION) dan Pengacara, Perunding dan Pembangun, Tuan Sayed Munawwar.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato‘ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato‘ Haji Kamarudin Ismail, Dato‘ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato‘ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Pengerusi-pengerusi ANGKASA Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) Pn. Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin dan Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman serta Pengurusan Kanan ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine