HomeAGENSIPelancongan Koperasi Hidupkan Rantaian Nilai Ekonomi Komuniti

Pelancongan Koperasi Hidupkan Rantaian Nilai Ekonomi Komuniti

Pelancongan koperasi berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara koperasi di Malaysia dengan rantau Asia Pasifik menerusi pembangunan produk pelancongan, pertukaran pengalaman serta penerokaan peluang perniagaan baharu.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang yang mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi di SMK Temin, Jerantut, Pahang pada 24 Julai 2026.

Beliau berkata, kerjasama koperasi merentas sempadan sebelum ini lebih tertumpu kepada perdagangan produk seperti makanan, kraf tangan dan produk kebudayaan. Namun, pelancongan koperasi kini muncul sebagai platform baharu yang mampu menghubungkan koperasi di peringkat serantau.

Menurut beliau, melalui pelancongan koperasi, pelawat bukan sahaja berpeluang mengenali produk tempatan, budaya serta cara hidup masyarakat setempat, malah inisiatif itu turut menjana nilai ekonomi kepada komuniti.

“Pelancongan koperasi membuka ruang untuk mempromosikan produk koperasi, membangunkan pakej pelancongan bersama serta mengukuhkan hubungan perdagangan dalam kalangan koperasi di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Beliau berkata, Pahang yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta terkenal dengan keramahan penduduknya menawarkan pengalaman unik kepada pelawat untuk mengenali inisiatif pelancongan berasaskan komuniti dan melihat sendiri bagaimana koperasi menjadi pemangkin pembangunan mampan.

Katanya, pelancongan koperasi bukan sekadar menyediakan penginapan dan pengalaman melancong, malah mewujudkan peluang ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada anggota koperasi di samping mengekalkan identiti unik setiap destinasi.

“Komuniti tempatan, koperasi dan pelbagai pihak berkepentingan perlu bekerjasama bagi mewujudkan pengalaman pelancongan yang berkualiti, sekali gus memastikan manfaat ekonomi daripada sektor itu dapat dinikmati bersama oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dengan merekodkan 15.28 juta ketibaan pelancong pada 2025, melepasi sasaran awal sebanyak 14 juta pengunjung.

Katanya, pencapaian itu mewakili peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menjana pendapatan pelancongan kira-kira RM13.72 bilion yang memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, peruncitan serta pelancongan berasaskan komuniti.

Menurut beliau, Pahang turut diiktiraf sebagai destinasi utama penginapan domestik dengan merekodkan 11 juta pelancong domestik yang bermalam, selain menerima kira-kira 4.28 juta pelancong antarabangsa dan pelawat harian.

Beliau berkata, bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, Pahang menyasarkan ketibaan 15.5 juta pelawat dengan hasil pelancongan sebanyak RM13.4 bilion melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kualiti destinasi pelancongan, menambah baik kemudahan serta memperkasakan penyertaan komuniti.

Katanya, Tahun Memperkasakan Komuniti Pelancongan Pahang yang diperkenalkan tahun ini memberi penekanan kepada penglibatan komuniti dan koperasi sebagai pemacu pembangunan pelancongan negeri.

Beliau berkata, Koperasi Homestay Kampung Peruas Raub Berhad (KOPERAD) menjadi contoh bagaimana koperasi komuniti mampu menguruskan program inap desa (homestay), mempromosikan warisan budaya serta memastikan manfaat ekonomi pelancongan terus dinikmati masyarakat setempat.

Menurut beliau, KOSTEM pula membuktikan peranan koperasi sekolah dalam memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar menerusi aktiviti hospitaliti dan pengurusan acara.

Beliau berkata, Program Imersi Serantau ICA-AP Mengenai Pelancongan Koperasi menyediakan platform kepada peserta untuk bertukar pengetahuan, berkongsi pengalaman serta meneroka peluang kerjasama yang mampu memperkukuh pembangunan pelancongan koperasi di Rantau Asia Pasifik.

Beliau berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di Pahang dapat memberi perspektif baharu kepada para delegasi untuk membangunkan model pelancongan koperasi di negara masing-masing, sekali gus memperkukuh kerjasama antara koperasi di Rantau Asia Pasifik.

Terdahulu, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berharap semua delegasi membawa pulang pengalaman bermakna hasil penyertaan dalam program tersebut.

Beliau berkata, pengalaman tinggal bersama komuniti di Kampung Peruas, Raub serta lawatan ke Taman Negara di Jerantut diharap dapat dikongsi bersama ahli keluarga dan warga koperasi di negara masing-masing sebagai contoh kejayaan pelancongan koperasi Malaysia.

Hadir sama ialah Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Encik Balasubramanian Iyer; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Encik Mohd Firdaus Shaari; Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias; Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias; Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty; Wakil Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Timur, Puan Hamidah Mohd. Jos; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) yang menjalankan tugas Pegawai Pendidikan Daerah Jerantut, Encik Jamalrudin Samsudin; Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Raub, Haji Rushdan Nordin @ Noordin dan Pengetua SMK Temin, Puan Zarena Hamzah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine