Koperasi yang menjalankan aktiviti berteraskan eko-pelancongan disaran supaya bergabung usaha dan tenaga dalam memperkasakan industri pelancongan koperasi di Malaysia.
Gabungan tersebut penting sebagai langkah pemerkasaan dari sudut promosi dan periklanan serta mewujudkan rantaian nilai perkhidmatan yang lebih lengkap.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, eco-pelancongan koperasi berpotensi untuk berkembang lebih jauh dengan cara memasarkan keunikan alam semulajadi melalui pendekatan iklan dan video aktiviti.
Menurut beliau, sekiranya dapat disebarkan dengan kaedah promosi yang betul khususnya melalui media sosial, koperasi boleh mengimbangi kehadiran pelancong secara lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu pada hujung minggu atau musim cuti sahaja.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perbincangan antara ANGKASA dan koperasi mengenai potensi pelancongan koperasi di Sahom Valley Resort, Kampar Perak pada 22 Julai 2026.
Perbincangan yang melibatkan empat buah koperasi sekitar kawasan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohamed Shafie Abd. Karim, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman, Timbalan Pengarah Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Haji Hafiez Safran Ahmad Sidi, Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Negeri Perak, Hajah Salwana Ali, Perunding Coop Tourism Bahagian Keusahawanan dan Perniagaan IKMa, Puan Juliana Md. yusop, Ketua Pegawai Pembangunan Kumpulan ANGKASA, Haji Azam Haji Sulaiman dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Ishak.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, pada suku pertama tahun 2026 sahaja, Malaysia merekodkan seramai 74.7 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan mencecah RM34 bilion.
Perkembangan tersebut jelas beliau memberi isyarat jelas bahawa destinasi pelancongan berasaskan komuniti, eko-pelancongan Dan agro-pelancongan seperti Lembah Sahom mempunyai ruang yang sangat besar untuk berkembang dan menarik lebih ramai pengunjung pada masa hadapan.
Koperasi yang terlibat dalam perbincangan tersebut adalah :
- Koperasi Keluarga Rahman Kampar Berhad.
- Koperasi Keluarga Hj Tahir Ngah Abdullah Kampar Berhad.
- Koperasi Jaringan Keluarga Imam Manas Kampar Berhad.
- Koperasi Keluarga Haji Mohd Amin Berhad.
Sahom Valley Resort yang dikendalikan oleh Koperasi Keluarga Rahman Kampar Berhad menawarkan pakej pelancongan berkonsepkan agro dan eco-park dengan menggabungkan penginapan kampung, chalet, tapak perkhemahan dan aktiviti sungai.




















