Friday, August 1, 2025
HomeAKTIVITIHidupkan Kembali Semangat Ungku Aziz Perkasakan Ekonomi Bumiputera Melalui Gerakan Koperasi

Hidupkan Kembali Semangat Ungku Aziz Perkasakan Ekonomi Bumiputera Melalui Gerakan Koperasi

ANGKASA menyeru agar gerakan koperasi di Malaysia kembali mengangkat semangat dan falsafah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dalam memperkasakan ekonomi dengan pendekatan yang lebih moden, progresif dan sesuai dengan era digital masa kini.

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, gerakan koperasi tidak boleh lagi dilihat sebagai entiti sokongan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemacu utama dalam arus perdana ekonomi negara, khususnya dalam agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Katanya, gerakan koperasi perlu dimanfaatkan secara lebih strategik dalam membina jaringan perniagaan Bumiputera yang menyeluruh dan lestari, bukan sekadar bidang keusahawanan secara kecil-kecilan.

“Koperasi juga mesti berani menceburi sektor strategik seperti industri digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi makanan dan model perniagaan platform, sektor yang kini dikuasai oleh pemain kapitalis konvensional.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Ungku Aziz menjadi pelopor falsafah koperasi sebagai alat mobiliti sosial masyarakat Bumiputera, khususnya di luar bandar. Malah, beliaulah yang menggerakkan penubuhan ANGKASA serta memartabatkan gerakan koperasi sebagai instrumen pengagihan kekayaan negara secara lebih adil dan saksama”, jelas beliau.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di “Forum UAC 1.0: Ungku Aziz, Gerakan Koperasi dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera” bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 24 Jun 2025.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengimbau sumbangan besar Ungku Aziz sebagai pelopor falsafah koperasi yang memartabatkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat. Katanya, pembangunan sebenar bukan sekadar pencapaian angka tetapi turut mengambil kira kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Tambahnya, pendekatan tersebut selari dengan tiga teras Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperteguh kerukunan tadbir urus dan institusi serta menegakkan keadilan sosial. Justeru, gerakan koperasi wajar diberi peranan lebih besar dalam merapatkan jurang ekonomi dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat, terutama golongan marhaen dan luar bandar.

“ANGKASA kini giat memacu pelbagai inisiatif baharu seperti koperasi digital, program inkubasi perniagaan dan sistem tadbir urus teknologi. Malah, isu kekurangan minat generasi muda terhadap koperasi turut diberi perhatian dengan pelbagai program pemerkasaan belia yang dirangka lebih selari dengan realiti semasa.

Setakat ini, sebanyak 42 koperasi sekolah telah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta, manakala dua buah koperasi mencatat perolehan RM2 juta hasil inisiatif pembangunan modal insan koperasi yang lebih menyeluruh.

Selain itu, peranan koperasi dalam konteks serantau dan global turut diperkasa melalui penglibatan aktif Malaysia dalam ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance Asia Pacific (ICA-AP). Forum ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) 2025 yang telah berlangsung pada Mei lepas telah merumuskan empat resolusi penting termasuk meletakkan ACO sebagai sekretariat rasmi koperasi ASEAN, menubuhkan kementerian khusus atau badan nasional di peringkat negara bagi urusan koperasi, mengiktiraf gerakan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi kemanusiaan di negara-negara ASEAN dan mewujudkan jawatankuasa khusus COPAC@ASEAN.

Resolusi-resolusi ini amat penting kerana bakal membuka jalan kepada gerakan koperasi Malaysia untuk lebih aktif dalam ekosistem perdagangan serantau, pembangunan keusahawanan belia ASEAN serta meningkatkan pelaburan koperasi rentas sempadan,” katanya.

Jelasnya, gerakan koperasi bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi cerminan kepada nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan ekonomi. Justeru, semua pihak digesa berganding bahu menjadikan koperasi sebagai landasan ekonomi rakyat Malaysia yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaysia, Datin Sri Prof. Dr. Suhaiza Hanim Dato’ Mohamad Zailani dalam ucapan aluannya berkata, tujuan “Forum UAC 1.0: Ungku Aziz, Gerakan Koperasi dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera” diadakan adalah untuk menelusuri perjuangan Ungku Aziz dalam memartabatkan sosioekonomi rakyat serta pembangunan komuniti miskin dan luar bandar.

“Penubuhan UAC juga bertujuan bagi meneruskan legasi Almarhum melalui pelbagai aktiviti pemerkasaan ekonomi, salah satunya adalah Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKT) yang membantu golongan miskin tegar keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pelbagai inisiatif seperti keusahawanan sosial, pengukuhan kapasiti dan pembangunan minda.

Bermula pada tahun 2022, kami telah berjaya mengeluarkan ramai peserta daripada senarai penerima E-Kasih serta melancarkan produk Kudap Cookies dengan visi untuk dipasarkan ke seluruh negara.

Langkah UAC seterusnya adalah untuk menubuhkan koperasi peserta BMTKT dengan bantuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, badan korporat dan bank bagi memperkukuh jenama Kudap Cookies dengan rangkain lebih meluas,” ujarnya.

“Forum UAC 1.0: Ungku Aziz, Gerakan Koperasi dan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera” selepas itu menampilkan tiga orang panelis termasuk Setiausaha Koperasi Gagasan Ekonomi Melayu Malaysia Berhad (GEMA), Datuk Mohd Nizam Mahshar, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hassan dan Pengerusi Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA), Tuan Haji Zaharuddin Alias manakala Doktor Pasca Falsafah UAC, Dr. Khairi Ismail bertindak sebagai moderator.

Forum tersebut membincangkan tentang cabaran ekonomi Bumiputera serta strategi pemerkasaannya menerusi gerakan koperasi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penasihat UAC, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Wilayah Persekutuan, Puan Sariah Md. Dom mewakili Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine