HomeAKTIVITIANGKASA Selangor Semarak Semangat Kesukanan, Cungkil Bakat Muda Melalui Petanque

ANGKASA Selangor Semarak Semangat Kesukanan, Cungkil Bakat Muda Melalui Petanque

Sebanyak 306 pasukan melibatkan hampir 1,000 peserta telah menyertai Kejohanan Petanque ANGKASA peringkat Negeri Selangor 2026, bagi menentukan pasukan terbaik kategori senior dan junior yang akan mewakili kejohanan di peringkat kebangsaan pada bulan September nanti.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 26 Julai 2026 itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Tuan Haji Yusaini bin Salleh, yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor pada hari ini (27 Julai 2026) bertempat di Arena Petanque Briged Tengah PGA, Cheras.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan generasi muda, malah menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat atlet petanque yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menghargai komitmen ANGKASA yang konsisten menganjurkan program pembangunan sukan bagi menyokong pembentukan murid yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan kecergasan fizikal menerusi penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Beliau turut berharap kerjasama antara ANGKASA, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta agensi berkaitan dapat terus diperkukuhkan bagi memperluaskan pembangunan bakat atlet muda sehingga mampu mengharumkan nama negeri dan negara.

Terdahulu, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad berkata kejohanan tersebut membuktikan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperkasa pembangunan sukan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga koperasi dan generasi muda.

Menurut beliau, selain menjadi medan pertandingan, kejohanan itu turut mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta membentuk nilai disiplin, integriti dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Majlis diakhiri dengan simbolik perasmian Kejohanan Petanque ANGKASA Negeri Selangor 2026 Kategori Junior sebelum pertandingan diteruskan mengikut kategori yang dipertandingkan.

Turut hadir ialah Pegawai Wilayah Shah Alam mewakili Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Selangor, Puan Ruzilawati binti Sais, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine