Wednesday, June 10, 2026
HomeUncategorizedANGKASA Terima Kunjungan Delegasi Sekolah Pascasarjana UMSU, Indonesia

ANGKASA Terima Kunjungan Delegasi Sekolah Pascasarjana UMSU, Indonesia

Seramai 30 delegasi daripada Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat ANGKASA di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada hari ini (4 Jun 2026).

Kehadiran delegasi yang terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah itu telah disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi ANGKASA yang diketuai Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Turut sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Abdullah.

Delegasi Indonesia diketuai oleh Prof. Madya Dr. Adi Mansar selaku Vice Director of Post Graduate School, UMSU. Kehadiran beliau bersama rombongan mencerminkan komitmen institusi tersebut dalam memperkukuh jaringan akademik dan pembangunan koperasi di peringkat antarabangsa.

Sepanjang sesi berlangsung, peserta diberi penerangan menyeluruh mengenai sejarah penubuhan ANGKASA, fungsi organisasi serta sumbangannya dalam memperkasakan sektor koperasi di peringkat nasional.

Dalam sesi perkongsian tersebut, pihak ANGKASA turut menjelaskan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh Koperasi sebagai platform pendidikan keusahawanan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Lawatan ini juga membuka ruang perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak mengenai potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan koperasi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Para delegasi berpeluang mengemukakan pelbagai soalan berkaitan amalan terbaik pengurusan koperasi serta cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan gerakan koperasi di institusi pendidikan.

Menurut Prof. Madya Dr. Adi Mansar, program lawatan ini memberi nilai tambah yang besar kepada peserta kerana dapat melihat secara langsung pengalaman dan kejayaan Malaysia dalam membangunkan ekosistem koperasi yang mampan. Pengetahuan yang diperoleh dijangka dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh pendidikan dan gerakan koperasi di Indonesia.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, dalam ucapan ringkasnya, mengalu-alukan kunjungan tersebut serta menzahirkan harapan agar hubungan yang terjalin akan terus diperkukuh melalui perkongsian ilmu, pertukaran pengalaman dan pengembangan jaringan kerjasama pada masa hadapan.

Lawatan ini sekali gus mencerminkan peranan ANGKASA sebagai pusat rujukan koperasi yang diiktiraf di peringkat serantau serta komitmennya dalam memperluaskan perkongsian pengetahuan merentas sempadan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine