Perhimpunan Serantau International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) ke-17 bersama Forum Koperasi Asia Pasifik ke-12 yang berlangsung pada 25 November 2025 , di Colombo, Sri Lanka berjaya menghimpunkan lebih 450 pemimpin, pembuat dasar dan rakan pembangunan dari 22 negara. Acara anjuran ICA-AP dan dihoskan National Cooperative Council of Sri Lanka (NCCSL) ini terus memperkukuh jaringan hubungan koperasi serantau.
Majlis perasmian turut signifikan kerana diadakan bersempena United Nations International Year of Cooperatives 2025. Pengerusi NCCSL, G. D. Sarath Weerasiri menyifatkan penganjuran tersebut sebagai peluang Sri Lanka mempamerkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi.
Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav menekankan kekuatan koperasi global yang mencatat perolehan USD2.7 trilion dalam kalangan 300 koperasi terbesar dunia. Sementara itu, Menteri Perdagangan, Perdagangan Makanan, Keselamatan dan Pembangunan Koperasi Sri Lanka, Wasantha Samarasinghe mengumumkan usaha kerajaan memperkukuh legislatif koperasi dan menubuhkan 1,000 koperasi pengeluar bagi merangsang ekonomi setempat.
Delegasi Malaysia hadir dengan kepimpinan ANGKASA diketuai Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama Timbalan Presiden, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA.
Sesi Opening Plenary kemudiannya berlangsung dengan tema peranan koperasi sebagai pemangkin masa depan yang lebih mampan. Sesi ini menekankan pentingnya kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial, dan turut menampilkan Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr Azlan Ghazali iaitu Profesor Ekonomi dari UKM, Malaysia sebagai salah seorang speaker utama.
Pada sebelah petang, tiga sesi perbincangan secara selari melibatkan penyertaan aktif delegasi Malaysia melibatkan keseluruhan kepimpinan dan Pengerusi ANGKASA Negeri dalam membincangkan isu daya tahan koperasi, pelaburan mampan dan komunikasi strategik.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mengadakan beberapa sesi pertemuan penting bersama delegasi dari Jepun, Korea, India dan Sri Lanka bagi membincangkan potensi kerjasama strategik termasuk pembangunan kapasiti, ekonomi digital koperasi dan pengukuhan rantaian nilai pertanian.
Program hari tersebut diteruskan dengan penganjuran Asia Pacific Cooperative Excellence Awards 2025 dan Welcome Dinner, yang meraikan kecemerlangan organisasi koperasi di seluruh rantau Asia Pasifik.
Sepanjang persidangan, delegasi Malaysia turut terlibat dalam penilaian dasar serantau 2025–2028 serta berkongsi kepakaran dalam tadbir urus, pendidikan koperasi dan pengukuhan rantaian nilai.





































































